Bernama - Minggu Saham Digital Diadakan Sehingga 24 Nov Ini - PNB

Bernama - Minggu Saham Digital Diadakan Sehingga 24 Nov Ini - PNB

 

KUALA LUMPUR, 19 Nov - Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini melancarkan Minggu Saham Digital (MSD) -- adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) -- dalam situasi pandemik COVID-19.

MSD bersiaran setiap hari dari pukul 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 Nov, 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD.

Menurut kenyataan PNB, penonton akan dapat menyaksikan pelbagai program hibur didik dengan topik-topik kewangan, pelaburan, keusahawanan dan ekonomi, seperti Cikgu CEO, Makan Dulu, Sembang-Sembang ASNB dan ASB-Iclif MBA Masterclass Series.

MSD meneruskan objektif MSAM untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan menyimpan dan melabur dalam format hibur didik di samping mempamerkan portfolio syarikat pelaburan PNB dan operasi perniagaan mereka, menurutnya.

Karnival digital itu dirasmikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB); Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn hari ini.

Majlis perasmian maya itu disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube dan laman Facebook rasmi MSD.

Menerusi perutusan video, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Pengerusi YPB, mengucapkan tahniah kepada PNB atas inisiatif membawa acara literasi kewangan tahunannya dalam format digital baharu.

Menurut kenyataan yang sama, Tengku Zafrul juga mengulangi ucapan tahniah perdana menteri kepada PNB atas kejayaan membawa MSAM ke platform digital.

Beliau berkata inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan mengalakkan ekonomi digital untuk mempercepatkan pelan pemulihan ekonomi negara kesan daripada pandemik COVID-19.

“Berdasarkan ketidakpastian akibat COVID-19, pengurusan dan perancangan kewangan untuk individu dan keluarga kini menjadi lebih penting berbanding sebelumnya.

“Tidak terlambat untuk bijak menyimpan dan melabur demi kelangsungan kewangan masa depan. Penganjuran MSD ini tepat pada masanya untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya kesedaran kewangan, dan pendekatan digital ini menjadikannya lebih mudah untuk memanfaatkan sepenuhnya apa yang ditawarkan oleh PNB,” katanya.

MSD adalah manifestasi usaha PNB mendukung agenda digitalisasi sebagai sebahagian daripada pelan transformasi organisasi, menurut PNB.

Pengurus dana itu juga menjelaskan jika MSAM menarik pengunjung di kawasan tertentu, MSD pula  membolehkan pihaknya meneruskan usaha untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan mendekati segenap rakyat dengan sentuhan di hujung jari mereka.

Sementara itu, Zeti pula berkata seiring berkembangnya masyarakat digital dan kemajuan teknologi kewangan, adalah sangat penting untuk meningkatkan literasi kewangan digital dalam kalangan masyarakat.

“Demi menjadi pemangkin kepada usaha ini, kami telah merombak MSAM kepada format digital yang mudah dilayari dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.

“MSD dengan tema #LaburBersama adalah untuk mendidik masyarakat menjadi lebih bijak dalam menguruskan kewangan,” katanya menerusi kenyataan yang sama.

Layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan maklumat lanjut dan jadual program.

-- BERNAMA