Sambutan Baik Terhadap Sukuk Lestari Pertama di Dunia

Sambutan Baik Terhadap Sukuk Lestari Pertama di Dunia
Sukuk global pertama Malaysia sejak 2016 terlebih langgan sebanyak 6.4 kali, mencerminkan keyakinan terhadap polisi dan asas ekonomi yang kukuh.

Berikutan permintaan menggalakkan, Kerajaan tingkatkan saiz terbitan asal daripada USD1.0 bilion kepada USD1.3 bilion.

Sebanyak 91.5% pelabur Sukuk 10 dan 30 tahun ini merupakan pelabur asing.

Permintaan tinggi ini juga memberikan kadar hasil dan spread terendah bagi terbitan sukuk USD oleh Malaysia, mencerminkan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun berhadapan cabaran getir akibat pandemik COVID-19.

Harga sukuk 10-tahun ditetapkan pada 2.070% [T + 50 mata asas], dan tranche 30-tahun pada 3.075% [T + 80 mata asas] – dalam dunia sukuk, ini satu harga yang amat baik.

Kedua-dua sukuk tersebut telah mendapat penarafan A3 oleh Moody's dan A- oleh S&P.

Hasil terbitan sukuk akan disalurkan kepada projek sosial dan mesra alam, yang menyokong usaha Kerajaan dalam menangani kesan perubahan iklim dan membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Implikasi kepada rakyat dan perniagaan dapat dilihat dengan adanya lebih banyak projek sosio-ekonomi Kerajaan yang berpaksikan kelestarian (sustainability). Kita juga akan terus menikmati kadar pembiayaan yang berpatutan untuk kelangsungan kehidupan dan perniagaan kita.

Sukuk Kelestarian ini juga menunjukkan keupayaan inovatif industri kewangan Islam Malaysia di peringkat global.

Terima kasih pasukan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan agensi-agensi berkaitan yang 'berkampung sama-sama ' selama tiga hari bersengkang mata baru-baru ini, kerana sibuk berunding dengan pelbagai pelabur dari Asia, Eropah, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Afrika merentasi pelbagai zon masa. Usaha anda semua telah membuahkan hasil untuk Malaysia.