Jaringan Prihatin sebahagian daripada agenda keterangkuman digital negara, ringankan beban 8.4 juta penerima BPR

Jaringan Prihatin sebahagian daripada agenda keterangkuman digital negara, ringankan beban 8.4 juta penerima BPR

PUTRAJAYA, 5 Mei – Program Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini merupakan sebahagian daripada agenda keterangkuman digital negara bertujuan untuk meringankan beban 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan menyedari masih ramai rakyat tidak mempunyai akses Internet yang menyeluruh sama ada dari segi ketersediaan mahupun kemampuan, terutamanya dalam kalangan golongan rentan dan B40.

“Justeru, kerajaan akur bahawa terdapat penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi menangani masalah jurang digital ini,” katanya pada majlis pelancaran Program Jaringan Prihatin di sini, hari ini.

Jaringan Prihatin adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta 12 syarikat telekomunikasi di Malaysia iaitu Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, unifi Mobile, XOX Mobile, YES dan Yoodo.

Program ini diperkenalkan berdasarkan konsep keterangkuman dan langkah untuk memperkasakan rakyat Malaysia ke arah ekonomi digital, untuk memastikan tiada golongan yang akan tercicir.

Tengku Zafrul berkata program ini diumumkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2021 dengan peruntukan asal sebanyak RM1.5 bilion.

Mengambil kira jumlah keluarga B40 yang mempunyai anak, terutamanya yang masih bersekolah, beliau berkata RM500 juta telah ditambah dalam program ini di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan pada Mac lepas, menjadikan nilainya sebanyak RM2 bilion.

Selain itu, katanya syarikat telekomunikasi turut menawarkan faedah tambahan bernilai RM1.5 bilion, menjadikan nilai keseluruhan sebanyak RM3.5 bilion untuk penerima BPR.

Menurut Tengku Zafrul, program ini sejajar dengan lima Bidang Fokus Utama kerajaan dalam usahanya untuk menjana semula dan meningkatkan ekonomi Malaysia pasca COVID, yang sebahagiannya untuk meningkatkan daya saing negara dengan mengurangkan jurang digital.

Lima Bidang Fokus Utama itu ialah mengawal penularan COVID-19 bagi membolehkan ekonomi dibuka semula; memacu pemulihan ekonomi untuk terus melindungi kesejahteraan rakyat dan sektor yang terjejas; memperkukuh daya saing negara; memastikan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat serta mentransformasi ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Di bawah Jaringan Prihatin, penerima yang layak boleh memilih satu daripada dua faedah; pakej peranti atau pakej pelan data bulanan:

Bagi B40 dengan anak di bawah 18 tahun, mereka sama ada boleh membuat tuntutan sejumlah RM300 untuk pakej peranti atau rebat pelan data bulanan RM180 selama 12 bulan manakala B40 tanpa anak di bawah 18 tahun, rebat mereka untuk pakej peranti ialah RM180 atau pelan data bulanan RM120 selama 12 bulan.

Pendaftaran untuk Jaringan Prihatin akan dibuka dari 5 Mei-31 Julai, 2021. Penerima yang layak boleh mendaftar dengan syarikat telekomunikasi pilihan mereka dan menyertai mana-mana pelan yang diiktiraf di bawah program ini.

Maklumat lanjut mengenai Jaringan Prihatin, boleh layari belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/index.php/bm/jaringanprihatin