PEMULIH: Bantuan menyeluruh untuk rakyat hadapi kesan pandemik

PEMULIH: Bantuan menyeluruh untuk rakyat hadapi kesan pandemik

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Rakyat Malaysia daripada golongan miskin tegar, B40, M40 dan T20 hari ini menerima perkhabaran gembira dengan pengumuman pelbagai bantuan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion.

Ia merupakan kesinambungan daripada tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional sejak pandemik COVID-19 melanda negara awal tahun lepas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pengumuman khas menerusi siaran stesen televisyen tempatan berkata PEMULIH menumpukan tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Memahami ramai yang berdepan dengan masalah kewangan pada masa ini, Perdana Menteri mengumumkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang bernilai RM4.9 bilion sehingga hujung tahun; serta pemberian Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah dan golongan bujang dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.

“Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan RM4.6 bilion,” katanya.

Perdana Menteri berkata Bantuan Kehilangan Pendapatan bagi pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bakal memanfaatkan sehingga sejuta ahli dengan implikasi kewangan RM500 juta.

Permintaan majoriti rakyat untuk moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan serta pengeluaran KWSP turut mendapat perhatian kerajaan.

“… sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro. Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan. Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra dengan seramai 12.6 juta ahli boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000; dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Beliau berkata kerajaan turut bersetuju melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran melibatkan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan.

Bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA pula ditangguhkan untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan, dan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ditangguhkan selama tiga bulan.

Menyedari kepentingan barangan keperluan asas rakyat dan mengambil sikap mengetepikan perbezaan politik dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, Muhyiddin berkata RM300,000 diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Sebanyak RM10 juta turut diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Bagi membantu golongan kurang upaya yang kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada, Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju memberikan bantuan kewangan RM500 seorang untuk tempoh tiga bulan yang memanfaatkan 20,000 Orang Kurang Upaya (OKU).

Di sebalik kesemua bantuan yang diumumkan, Muhyiddin berkata program vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan negara keluar daripada belenggu pandemik COVID-19.

Justeru, kerajaan menggariskan beberapa inisiatif tambahan yang antaranya memperuntukkan RM400 juta untuk menambah bekalan vaksin negara selain membuka 29 pusat pemberian vaksin (PPV) baharu dan menaik taraf PPV sedia ada.

Menyatakan bahawa nilai keseluruhan bagi fokus meningkatkan vaksinasi berjumlah RM1 bilion, Muhyiddin menegaskan: “Kerajaan sentiasa mendengar dan menerima pandangan semua pihak dengan hati terbuka, memperbaiki sistem penyampaian kerajaan, berusaha dan berikhtiar mencari jalan keluar dari kemelut pandemik ini”.

“Percayalah kerajaan akan terus membantu sedaya mampu supaya rakyat dan negara kita terus dilindungi,” katanya.