Kementerian Kewangan Mengesahkan Pemfailan Tindakan Sivil Oleh 1MDB Dan SRC International Sdn Bhd

Kementerian Kewangan Mengesahkan Pemfailan Tindakan Sivil Oleh 1MDB Dan SRC International Sdn Bhd

Dalam usaha berterusan Kerajaan untuk menangani kerugian yang dialami oleh 1Malaysia Development Berhad (“1MDB”) dan SRC International Sdn Bhd (“SRC”), Kementerian Kewangan dengan ini mengesahkan bahawa pada 7 Mei 2021, wakil guaman kedua-dua entiti ini telah memfailkan sejumlah 22 tuntutan sivil. Enam daripada writ saman difailkan oleh 1MDB, sementara 16 lagi oleh SRC untuk pemulangan aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion (USD23 bilion), termasuk kira-kira RM300 juta tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan.

Writ yang difailkan oleh 1MDB ini adalah terhadap sembilan entiti (termasuk dua institusi kewangan asing) dan 25 individu atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran kewajipan kontrak, statutori, common law dan fidusiari; pecah amanah; frod; konspirasi frod; salah nyata frod; pecah kewajipan dan amanah secara frod; penyembunyian secara frod; penyelewengan secara frod; bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana; kecuaian; penerimaan dengan pengetahuan (knowing receipt) dan pengkayaan tidak wajar (unjust enrichment).

Writ yang difailkan oleh SRC adalah terhadap 15 individu dan 8 entiti atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa, pelanggaran kewajipan fidusiari di jawatan awam, pecah amanah, konspirasi, bantuan tidak jujur, pelanggaran kewajipan secara frod; penerimaan dengan pengetahuan, salahlaku dan penukaran salah (wrongful conversion).

1MDB dan SRC menyatakan bahawa entiti-entiti dan/atau individu-individu ini telah mendapatkan pengkayaan tidak wajar melalui penerimaan wang secara salah dari 1MDB atau SRC.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan, "Berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, AmBank Group dan Deloitte PLT, usaha Kerajaan kini difokuskan untuk membawa ke muka pengadilan pesalahlaku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan/atau SRC semasa pelaksanaan tugas mereka, sebagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan urus niaga 1MDB dan/atau SRC. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan akan meneruskan usaha sehingga semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan kepada negara melalui penglibatan mereka dalam 1MDB dan/atau SRC.

Malaysia sebelum ini telah menerima RM10.5 bilion (USD2.5 bilion) dari Goldman Sachs pada bulan Ogos 2020 dengan jaminan pemulangan aset selanjutnya sebanyak RM5.88 bilion (USD1.4 bilion). Tidak lama lagi, Kerajaan juga akan menerima RM2.83 bilion dari Ambank Group dan RM336 juta (USD80 juta) dari Deloitte PLT. Semua hasil dari usaha pemulangan aset 1MDB termasuk penyelesaian akan datang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulangan Aset di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia. Penyelesaian ini tidak menjejas atau mengkompromi tuntutan Malaysia terhadap pesalahlaku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC, dan mereka akan tetap dihadapkan ke muka pengadilan melalui sistem perundangan jenayah dan sivil.

Kementerian Kewangan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional atas usaha bersama mereka untuk membawa pesalahlaku ini ke muka pengadilan dan mendapatkan kembali hak rakyat Malaysia.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
10 Mei 2021