Majlis Kewangan Negara 2021 Menambahbaik Pemberian Negeri

Majlis Kewangan Negara 2021 Menambahbaik Pemberian Negeri

(1) Mesyuarat Majlis Kewangan Negara telah diadakan pada hari ini secara maya dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin dan dihadiri oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari semua negeri.

(2) Melalui Majlis Kewangan Negara pada kali ini, Kerajaan Persekutuan telah menambahbaik Pemberian dan sokongan kepada negeri untuk tahun 2021, di antaranya seperti berikut:

(a) Pertama, Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan peruntukan di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup atau lebih dikenali sebagai Pemberian TAHAP kepada semua Kerajaan Negeri daripada RM350 juta kepada RM400 juta. Peningkatan peruntukan ini adalah bagi tujuan membiayai aktiviti Ecological Fiscal Transfer sebagai insentif tambahan kepada Kerajaan Negeri untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara.

(b) Kedua, Kerajaan Persekutuan menyedari situasi yang dialami oleh kebanyakan Kerajaan Negeri yang berhadapan dengan keadaan yang sukar terutamanya dalam pengurusan kewangan negeri di saat pasca pandemik COVID-19. Maka, dengan ini Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk meluluskan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri berjumlah RM440 juta bagi membantu Kerajaan Negeri yang mengalami defisit untuk menguruskan hal ehwal kewangan dan melaksanakan projek pembangunan masing-masing.

(c) Ketiga, Kerajaan Persekutuan amat prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya. Oleh itu, Majlis Kewangan Negara juga bersetuju supaya Garis Panduan Tatacara Penggunaan Pemberian MARRIS ditambah baik antaranya termasuk perluasan takrifan penyenggaraan jalan negeri. Keputusan ini diharapkan dapat memberi fleksibiliti kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan mengikut keutamaan dan kesegeraan di negeri masing-masing seterusnya menjamin keselamatan rakyat terutamanya pengguna jalan raya.

(d) Keempat, Kerajaan Persekutuan turut menyedari Kerajaan Negeri juga mengalami pengurangan hasil pendapatan yang sangat drastik pasca COVID-19. Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM260 juta kepada Kerajaan Negeri bagi membantu negeri melaksanakan projek-projek berskala kecil di peringkat akar umbi. Agihan pertama sebanyak RM60 juta telah disalurkan kepada negeri-negeri dengan had maksimum 3 bagi setiap projek ditetapkan pada RM100,000 melalui kaedah cabut undi untuk memastikan pengagihan peruntukan dapat memanfaatkan kontraktor kecil Bumiputera secara saksama.

(3) Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik. Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan di dalam pelbagai bentuk Pemberian kepada Kerajaan Negeri setiap tahun. Oleh yang demikian, besarlah harapan Kerajaan Persekutuan supaya Pemberian-pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
6 Mei 2021