MKD Signature Sdn Bhd Masih Memegang 51% Saham Di Dalam Pemilikan Bangunan Exchange 106

MKD Signature Sdn Bhd Masih Memegang 51% Saham Di Dalam Pemilikan Bangunan Exchange 106
  1. Kementerian Kewangan ingin menjelaskan tentang satu laporan media mengenai dakwaan penjualan saham milik MKD Signature Sdn Bhd (MSSB) iaitu syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) di dalam Mulia Property Development Sdn Bhd (MPDSB) yang memiliki bangunan Exchange 106 di dalam Projek Tun Razak Exchange (TRX).

  2. Dimaklumkan bahawa MSSB telah mengambil alih 51% saham di dalam MPDSB pada 19 Julai 2017 daripada Mulia International Limited (MIL) manakala 49% saham lagi masih dimiliki oleh MIL. Keputusan penglibatan MSSB di dalam pembangunan Exchange 106 pada waktu tersebut dibuat bagi memelihara kepentingan projek TRX yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana kesukaran MPDSB mendapatkan pinjaman untuk membiayai projek tersebut.

  3. Buat masa ini MSSB masih menjadi pemegang saham utama MPDSB dan tidak wujud sebarang perjanjian penjualan saham kepada mana-mana pihak.

  4. Penjualan saham MSSB di dalam syarikat MPDSB adalah tertakluk kepada Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pemegang Saham yang dimeterai pada tahun 2017 di mana MIL mempunyai hak untuk melaksanakan Call Option untuk membeli semula 51% saham MSSB dengan harga yang telah dipersetujui dan setelah menjelaskan pinjaman yang diberikan oleh MSSB.

Kementerian Kewangan, Putrajaya
11 April 2021