Prestasi KDNK Suku Pertama 2021: Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Semakin Pulih

Prestasi KDNK Suku Pertama 2021: Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Semakin Pulih

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) telah mengumumkan bahawa kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2021 (S1 2021) ialah -0.5% dari tahun-ke-tahun, iaitu penguncupan yang jauh lebih kecil berbanding -3.4% pada suku keempat 2020 (S4 2020). Kadar ini mencerminkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan menunjukkan bahawa negara terus menuju ke arah pemulihan, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

Pertumbuhan S1 2021 ini didorong oleh pertumbuhan sektor pembuatan pada kadar 6.6% (S4 2020: 3.0%) dan sektor pertanian sebanyak 0.4% (S4 2020: -1.0%) dari tahun-ke-tahun. Secara keseluruhan, kesemua sektor ekonomi negara telah menunjukkan tanda pemulihan melalui penguncupan tahunan yang lebih kecil berbanding suku tahunan sebelum ini seperti sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak -5.0% (S4 2020: -10.4%), perkhidmatan sebanyak -2.3% (S4 2020: -4.8%), dan pembinaan sebanyak -10.4% (S4 2020: -13.9%).

Berdasarkan prestasi bulanan KDNK, kesan awal pelaksanaan PKP 2.0 telah menyebabkan pertumbuhan pada bulan Januari menyusut sebanyak 3.5%, disusuli dengan penguncupan sebanyak 3.6% pada bulan Februari. Walaubagaimanapun, pertumbuhan KDNK pada bulan Mac telah melonjak sebanyak 6.0%, iaitu nilai yang tertinggi sejak bulan Mac 2020. Ini menggambarkan hasil dan impak positif melalui langkah segera Kerajaan dalam melaksanakan pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion pada bulan Januari dan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion pada pertengahan Mac 2021 bagi terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan menyediakan bantuan secara bersasar kepada rakyat dan sektor ekonomi yang masih terkesan. Kedua-dua pakej ini melengkapi pelbagai inisiatif Belanjawan 2021 yang terus dilaksanakan seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Geran Khas Prihatin dan juga Program Subsidi Upah.

Pelbagai penunjuk ekonomi utama juga mencerminkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan iaitu:

(1) Kadar pengangguran yang terus pulih pada bulan Mac 2021, iaitu 4.7% berbanding kadar pengangguran tertinggi 5.3% pada bulan bulan Mei 2020. Buat pertama kalinya setelah 11 bulan berturut-turut, bilangan orang yang bekerja mencatatkan pertumbuhan positif dari tahun-ke-tahun sebanyak 0.6%, atau 96,900 orang. Selain itu, usaha Majlis Pekerjaan Negara (NEC) juga telah menghasilkan 150,597 pekerjaan setakat April 2021, melebihi jumlah unjuran kumulatif bagi bulan tersebut.

(2) Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara yang melonjak 9.3% pada Mac 2021, pertumbuhan yang paling tinggi sejak Julai 2013. Pencapaian ini dipacu oleh indeks pembuatan dan elektrik, di mana masing-masing meningkat sebanyak 12.7% dan 10.3%. Nilai jualan sektor pembuatan bagi Mac 2021 pula meningkat sebanyak 15.3% kepada RM126.9 bilion, iaitu tertinggi dalam 44 bulan.

(3) Nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatat pertumbuhan sebanyak 9.3% pada Mac 2021 kepada RM112.8 bilion, didorong oleh nilai jualan kenderaan bermotor yang melonjak 40.7% dan perdagangan runcit yang meningkat 10.5%. Insentif cukai jualan kenderaan dan peningkatan harga komoditi jelas menyumbang kepada peningkatan pendapatan bolehguna rakyat. Selain itu, indeks jualan runcit dalam talian, yang menggambarkan aktiviti e-dagang, terus mencatat pertumbuhan 18.3% dari tahun-ke-tahun.

(4) Malaysia kekal berdaya saing sebagai salah satu pengeksport utama di rantau ini. Pada Mac 2021, nilai keseluruhan eksport Malaysia mencecah RM100 bilion, iaitu jumlah tertinggi semenjak 44 bulan yang lepas. Eksport telah meningkat sebanyak 31.0% peratus kepada RM104.9 bilion berbanding Mac 2020. Secara keseluruhan, jumlah perdagangan negara melonjak sebanyak 25.6% dari tahun-ke-tahun kepada RM185.7 bilion, di mana negara telah mencatat lebihan dagangan bagi bulan ke-11 berturut-turut sejak Mei 2020 berjumlah RM24.2 bilion, atau 96.1% lebih tinggi berbanding Mac 2020.

(5) Malaysia juga kekal sebagai salah satu destinasi utama pelaburan di rantau ini. Dari Januari hingga 23 April 2021, negara telah memperoleh pelaburan asing langsung (FDI) sebanyak RM81.9 bilion, di mana pada S1 2021, sejumlah RM9.1 billion merupakan aliran masuk bersih (S4 2020: RM6.8 bilion). Semua pelaburan ini adalah berkualiti tinggi, termasuk dalam sektor teknologi, inovasi, teknologi hijau, kenderaan elektrik dan teknologi kewangan.

(6) Pembiayaan bersih terus berkembang sebanyak 4.7% sepanjang S1 2021 (S4 2020: 4.4%) melalui peningkatan pinjaman kepada sektor perniagaan bagi tujuan modal kerja.Selain itu, pinjaman dari isi rumah kekal pada tahap yang menggalakkan, mencerminkan pemulihan dari segi permintaan.

Dari segi pasaran modal:

(1) Susulan pengumuman PEMERKASA, nilai permodalan Pasaran Ekuiti Bursa Malaysia mencapai tahap tertinggi pada 18 Mac, iaitu RM1.86 trilion. Pelabur runcit kekal sebagai pelabur utama di pasaran saham, di mana sejumlah RM6.0 bilion pelaburan bersih dicatatkan semenjak awal tahun 2021 hingga hujung April. Bagi industri pengurusan dana, penyertaan runcit yang tinggi terus dicatatkan di mana Nilai Aset Bersih (NAV) bagi segmen dana unit amanah meningkat sebanyak 2.8% kepada RM534.07 bilion pada akhir Mac 2021, berbanding RM519.53 bilion pada akhir 2020.

(2) Pelabur asing juga terus yakin dengan pasaran bon Ringgit di mana setakat empat bulan pertama 2021, sejumlah RM23.09 bilion aliran masuk bersih telah dicatatkan, di mana lebih daripada 50% merupakan langganan kepada penerbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang bernilai kira-kira RM12 bilion. Selain itu, keyakinan pelabur juga jelas dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali terhadap penerbitan Sukuk berdaulat berdenominasi Dolar AS oleh Kerajaan termasuk penerbitan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia.

Dari segi sentimen:

(1) Kedua-dua Indeks Sentimen Pengguna1 (CSI) dan Indeks Keadaan Perniagaan (BCI)2 masing-masing terus meningkat kepada kepada 98.9 mata dan 111.8 mata pada S1 2021, menggambarkan sentimen positif mengenai ekonomi, prospek kewangan dan pasaran buruh yang semakin pulih di mana 32% syarikat melaporkan tenaga kerja mereka telah bertambah berbanding 28% pada S4 2020.

(2) Keyakinan perniagaan dalam sektor pembuatan terus meningkat melalui Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia3 yang naik kepada 53.9 pada April 2021 berbanding 49.9 pada Mac 2021. Ini adalah pengembangan prestasi paling kukuh yang direkodkan sejak kajian itu dimulakan, dan merupakan peningkatan pengeluaran dan kadar pertumbuhan yang terkukuh buat kali pertama semenjak Jun 2020.

MELANGKAH KE HADAPAN

Dengan pelaksanaan semula PKP, atau PKP 3.0, beberapa segmen sektor perkhidmatan yang berteraskan interaksi fizikal termasuk pelancongan dijangka akan terus terkesan akibat larangan merentas negeri dan pengekangan aktiviti sosial. Walaubagaimanapun, Kerajaan yakin bahawa KDNK negara akan terus berkembang berdasarkan unjuran pada kadar 6.0% - 7.5%, selaras dengan anggaran Dana Kewangan Antarabangsa (6.5%), Bank Dunia (6.0%) dan Bank Pembangunan Asia (6.0%). Selain itu, pemulihan ekonomi negara juga akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi rakan dagangan utama seperti Singapura yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.2%, China (18.3%) dan Amerika Syarikat (0.4%) pada S1 2021. Pelaksanaan PICK juga akan mendorong pembukaan pelbagai sektor ekonomi, pemulihan sentimen pengguna, dan seterusnya pertumbuhan serta daya tahan ekonomi Malaysia.


1 Diterbitkan oleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER)
2 Diterbitkan oleh MIER 3 Diterbitkan oleh IHS Markit
3 Diterbitkan oleh IHS Markit

 

Pelaksanaan PKP 3.0 pada 10 Mei 2021 dijangka tidak akan memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi kerana hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi. Penutupan keseluruhan ekonomi seperti PKP 1.0 akan menyaksikan pengangguran bakal mencecah 7% (atau lebih 1 juta penganggur) yang akan lebih tertumpu kepada golongan yang bekerja sendiri, belia, wanita, serta mereka yang berkemahiran/berpendapatan rendah. Hakikatnya, penutupan keseluruhan sektor ekonomi akan lebih memudaratkan golongan rentan dan mudah terjejas berbanding mereka yang berkemampuan. Di samping risiko pengangguran, golongan bekerja sendiri dan lebih kurang 2.8 juta PKS mikro juga lebih berisiko mengalami kekurangan pendapatan ekoran penutupan ekonomi secara keseluruhan.

Kerajaan sentiasa berwaspada bahawa pertumbuhan ekonomi negara masih lagi berhadapan dengan risiko dan ketidaktentuan persekitaran ekonomi domestik dan global yang sentiasa berubah-ubah, termasuklah penularan varian baru COVID-19 yang dilihat semakin meluas di seluruh dunia, menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan rakan perdagangan berikutan pelaksanaan semula langkah pembendungan yang lebih ketat; dan gangguan bekalan vaksin COVID-19 yang akan membantutkan usaha mencapai imuniti kelompok.

Sehubungan itu, Kerajaan akan tetap memberi tumpuan kepada 5 Fokus Utama bagi mendorong dan menjamin pemulihan ekonomi negara iaitu Mengawal penularan COVID-19 secara lebih proaktif melalui HIDE (Hotspot Identification for Dynamic Engagement) yang memanfaatkan kaedah analisis data raya; Memacu pemulihan ekonomi bagi terus memelihara kebajikan rakyat dan sektor terjejas, termasuk di peringkat akar umbi; Memperkukuh dayasaing negara dengan antara lainnya, meningkatkan digitalisasi dan kemahiran tenaga kerja; Memastikan agenda keterangkuman terutamanya bagi golongan wanita, belia, orang kelainan upaya, mereka yang kehilangan pekerjaan dan golongan rentan; dan Mentransformasikan ekonomi kepada aktiviti berasaskan pengetahuan dan berpaksikan inovasi. Kementerian Kewangan juga telah mula merangka Belanjawan 2022, dan akan terus melandaskan sebahagian matlamat-matlamat inisiatif kepada Sustainable Development Goals (SDG). Ini akan memastikan rangka tindakan yang menyeluruh ke arah pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif, serta pengurusan alam sekitar yang lebih lestari.

Kerajaan yakin bahawa pemulihan ekonomi kita berada di landasan yang tepat dan pelbagai dasar yang dilaksanakan akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi yang kukuh pada tahun 2021, digandingkan dengan disiplin fiskal jangka sederhana dan panjang. Namun, sekiranya terdapat keperluan tambahan untuk menyokong pemulihan ekonomi seterusnya, yakinlah bahawa Kerajaan akan menguruskannya dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada kesejahteraan rakyat dan perniagaan.


YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
11 Mei 2021


INFOGRAFIK