RM100 juta untuk 300,000 isi rumah golongan miskin bandar secara tanpa tunai (Cashless) melalui MyKad bermula Julai 2021

RM100 juta untuk 300,000 isi rumah golongan miskin bandar secara tanpa tunai (Cashless) melalui MyKad bermula Julai 2021

Kementerian Kewangan ingin memaklumkan bahawa projek perintis Program PRIHATIN Kasih bagi menghulurkan bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar telahpun bermula pada 1 Julai 2021 di Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pelaksanaan PKPD.

PRIHATIN Kasih dengan peruntukan RM100 juta ini telah diumumkan sebagai salah satu langkah pakej PEMERKASA, bagi membantu kos sara hidup bagi golongan miskin bandar. Program bantuan barangan dapur ini disalurkan secara tanpa tunai atau cashless melalui penggunaan MyKad dan akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara.

Keluarga yang menerima PRIHATIN Kasih telah dipilih daripada keluarga miskin bandar, dengan mengambil kira pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan e-Kasih yang seterusnya disemak silang dengan pengkalan data BPR. PRIHATIN Kasih melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur, dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah

PRIHATIN Kasih melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur, dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah

Program PRIHATIN Kasih ini melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit.

Fasa Pertama yang telahpun dilaksanakan bermula pada 1 Julai 2021 di Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan maklumbalas positif dari penerima. Fasa selanjutnya akan dilancarkan seperti berikut:

 

Negeri Bulan Pelaksanaan
Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Terengganu Ogos 2021
Negeri Sembilan, Labuan, Pahang, Putrajaya, Sabah dan Sarawak September – Oktober 2021

 

Penerima PRIHATIN Kasih yang layak akan menerima SMS dari MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat di bawah program ini, beserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat. Maklumat lanjut boleh didapati di www.mykasih.com.my/site/prihatin-kasih.

Program MyKasih ini merupakan pelengkap kepada Program Bakul Makanan yang telahpun diumumkan di bawah pelbagai pakej-pakej bantuan termasuk: 

  1. PERMAI: Program Bakul Makanan bernilai RM50 juta;
  2. PEMULIH: Program Bakul Makanan nasional di mana RM80 juta telah diperuntukkan, dengan agihan RM300,000 bagi setiap Ahli Parlimen, termasuk dari Parti Pembangkang. Peruntukan ini telahpun disalurkan kepada semua ahli Parlimen bermula 1 Julai 2021. Bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi, peruntukan ini akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Majlis Perbandaran Sandakan. Baki selebihnya adalah untuk pengagihan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli.

Selain itu, rakyat yang memerlukan juga boleh memanfaatkan program agihan makanan yang dikelolakan oleh pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat; Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Program Gerobok Rezeki).


KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
Putrajaya
5 Julai 2021