RM155 juta Bayaran Rayuan Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 kepada 52 ribu PKS Mikro disalurkan pada 5 Februari 2021

RM155 juta Bayaran Rayuan Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 kepada 52 ribu PKS Mikro disalurkan pada 5 Februari 2021

Di bawah pakej rangsangan ekonomi KITA PRIHATIN, Kerajaan telah membuka semula permohonan untuk Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) yang merupakan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini. GKP 2.0 bertujuan meringankan beban kewangan perniagaan ekoran penularan wabak COVID-19 dan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro. Di bawah GKP 1.0 dan 2.0 yang diumumkan sebelum ini, lebih 850,000 PKS mikro seluruh negara telah menerima manfaatnya dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM2.55 bilion.

Tempoh permohonan Rayuan GKP 2.0 telah dibuka antara 7 hingga 21 Disember 2020 yang lepas. Bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima bantuan ini dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, setiap permohonan rayuan yang diterima Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah disemak silang atau diverifikasi dengan data agensi Kerajaan yang berkaitan termasuk di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Susulan proses permohonan rayuan berkenaan, sukacita dimaklumkan bahawa hampir 52,000 PKS mikro diluluskan menerima Rayuan GKP 2.0 dengan peruntukan sebanyak RM155 juta.

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan Rayuan GKP 2.0 pada 5 Februari 2021 dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 4 Februari 2021 melalui portal GKP, iaitu gkp.hasil.gov.my. Mengambil kira GKP 1.0 dan GKP 2.0 termasuk rayuan yang diluluskan, jumlah keseluruhan penerima GKP adalah hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM2.7 bilion.

Sukacita diingatkan bahawa penambahan peruntukan bagi GKP pada tahun 2021 telahpun diumumkan seperti berikut:

  1. Belanjawan2021: iaitu bantuan kewangan sebanyak RM1,000 melalui GKP Tambahan, yang akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah. Ini dijangka akan memanfaatkan 50,000 PKS mikro dengan peruntukan sebanyak RM50 juta;

  2. Pakej Bantuan PERMAI: Perluasan bantuan GKP Tambahan atau GKP PERMAI, kepada 815,000 PKS di semua negeri yang melaksanakan PKP dengan bayaran RM1,000, manakala 35,000 PKS di luar kawasan PKP akan menerima RM500. Inisiatif GKP PERMAI ini melibatkan peruntukan tambahan hampir RM830 juta. Maklumat lanjut boleh didapati di pautan belanjawan2021.treasury.gov.my/permai/faq/gkp.html.

Kerajaan berharap agar bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya PKS mikro yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP atau PKPB.


YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
3 Februari 2021