Tarikh Rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021

Tarikh Rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021

Bagi tahun 2021, Kerajaan telah mengemaskini data golongan B40 yang layak menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan setakat ini, RM4.6 billion bantuan BPR telah disalurkan kepada seramai 8.4 juta penerima B40 seluruh negara pada bulan Februari/Mac dan Mei 2021. Bayaran Fasa 3 sebanyak RM2.4 bilion pula akan dibuat pada bulan September 2021.

Walau bagaimanapun, Kerajaan sedar bahawa mungkin masih ada rakyat yang layak menerima BPR tetapi masih belum didaftarkan di dalam pangkalan data Kerajaan. Oleh itu, sukacita diingatkan bahawa tempoh rayuan bagi permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021 bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini. Pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Seperti diumumkan dalam Program PEMERKASA+ pada 31 Mei 2021, Kerajaan telah memperkenalkan BPR Tambahan sebanyak RM2.1 bilion untuk membantu penerima BPR 2021 sedia ada. Pemohon yang lulus rayuan BPR ini layak menerima bayaran BPR Tambahan berkenaan. Permohonan rayuan boleh dibuat melalui kaedah berikut:

 

Kaedah Permohonan Rayuan BPR
Secara dalam talian Melalui Portal Rasmi BPR LHDNM, bpr.hasil.gov.my
Penghantaran Borang Rayuan BPR 2021 Secara Manual Cawangan / Pusat Khidmat Hasil (PKH) / Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran secara janji temu sahaja (tertakluk kepada SOP semasa Kaunter Perkhidmatan Kerajaan)

Setelah pangkalan data BPR dikemaskini, pembayaran rayuan BPR kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada bulan Ogos 2021 (BPR Tambahan) dan September 2021 (BPR Fasa 3). Pemohon rayuan BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BPR (bpr.hasil.gov.my) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Kerajaan sentiasa peka dan membantu dalam menjamin kelangsungan hidup rakyat. Bagi tahun ini, Kerajaan telah memperuntukkan hampir RM9.1 bilion untuk BPR secara keseluruhannya. Ringkasan jumlah dan tarikh bayaran adalah seperti berikut:

 

BPR 2021 Tarikh Bayaran Jumlah
Fasa 1 Feb/Mac 2021 RM1.9 bilion
Fasa 2 Mei 2021 RM2.7 bilion

Fasa Tambahan
– bagi penerima BPR sedia ada (PEMERKASA+)

Akhir Jun 2021 RM2.1 bilion
(tambahan)
Fasa Tambahan
– bagi perayu (tambahan) yang diluluskan (PEMERKASA+)
Ogos 2021
Fasa 3 Sep 2021 RM2.4 bilion
JUMLAH BESAR   RM9.1 bilion

 

Kerajaan kekal komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan ini sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 buat masa ini.


YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
13 Jun 2021