Terbitan Sukuk Kelestarian Berdaulat Berdenominasi Dolar AS Yang Pertama Di Dunia oleh Kerajaan Malaysia

Terbitan Sukuk Kelestarian Berdaulat Berdenominasi Dolar AS Yang Pertama Di Dunia oleh Kerajaan Malaysia

Permintaan yang amat menggalakkan ke atas terbitan sukuk global pertama sejak 2016 mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi yang kukuh dan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam


Kerajaan Malaysia telah berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS (USD) menerusi terbitan bertempoh matang 10- tahun dengan jumlah USD800 juta. Di samping itu, Kerajaan juga menerbitkan sukuk bertempoh matang 30-tahun berjumlah USD500 juta. Kedua-dua tranche tersebut telah mendapat penarafan A3 oleh Moody's Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings.

Keyakinan pelabur jelas dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali. Berikutan permintaan yang amat menggalakkan, Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan saiz terbitan asal daripada USD1.0 bilion kepada USD1.3 bilion. Permintaan yang tinggi ini juga memberikan kadar hasil dan spread terendah bagi terbitan sukuk berdenominasi dolar AS oleh Malaysia dengan tranche 10-tahun ditetapkan pada 2.070% [T + 50 mata asas], dan tranche 30-tahun pada 3.075% [T + 80 mata asas]. Yang lebih penting, permintaan ini mencerminkan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun berhadapan dengan cabaran getir akibat pandemik COVID-19 dalam tempoh setahun lepas.

Terbitan sulung Sukuk Kelestarian Malaysia dalam dolar AS merupakan sukuk pertama di dunia yang diterbitkan oleh sesebuah negara/kerajaan di mana terimaan terbitan akan disalurkan kepada projek sosial dan mesra alam yang menepati Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Terbitan ini membolehkan Kerajaan memenuhi komitmen sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, selaras dengan status sebagai penandatangan dalam Perjanjian Paris, di samping menggiatkan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyatnya. Ini turut membuktikan usaha Kerajaan dalam menangani kesan perubahan iklim serta menggiatkan peralihan ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Sukuk ini juga unik kerana aset sandarannya adalah aset lestari iaitu baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail. Ia merupakan terbitan berdaulat pertama yang menggunakan aset sandaran seumpama ini, lantas menjadi penanda aras baharu selain menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global, serta memperkukuh kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata “Kami berasa amat sukacita dan berbesar hati dengan keyakinan pelabur atas terbitan sulung Sukuk Kelestarian yang menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh. Terbitan ini bukan sahaja mengungguli pelbagai aspek malah merupakan sebuah pengiktirafan yang tinggi ke atas keupayaan inovatif industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan SDG untuk mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”

Sukuk Kelestarian ini diterbitkan menerusi syarikat bertujuan khas, Malaysia Wakala Sukuk Berhad dan berasaskan Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia yang baru diwujudkan. Rangka Kerja ini telah dinilai oleh Sustainalytics 1, yang mengiktirafkannya sejajar dengan empat komponen teras Social Bond Principles 2020 (SBP), Green Bond Principles 2018 (GBP), dan ASEAN Sustainability Bond Standards 2018 (ASEAN SUS). Kedua-dua dokumen Rangka Kerja dan Pandangan Pihak Kedua oleh Sustainalytics boleh diakses melalui: www.mof.gov.my/en/economy/sustainability.

Program jelajah secara maya yang meliputi pelabur Asia, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat telah berjaya menarik minat pelbagai segmen pelabur. Pengagihan sukuk ini telah dibuat secara menyeluruh dengan tranche 10-tahun diagihkan sebanyak 55% kepada pelabur Asia, 33% kepada pelabur Eropah, Timur Tengah dan Afrika serta 12% kepada pelabur Amerika Syarikat. Sementara itu, tranche 30- tahun pula diagihkan sebanyak 46% kepada pelabur Asia, 33% kepada pelabur Eropah, Timur Tengah dan Afrika dan 21% kepada pelabur Amerika Syarikat.

Sebanyak 67% daripada tranche 10-tahun telah diagihkan kepada pengurus dana dan syarikat insurans, 18% kepada bank pusat dan kerajaan, 14% kepada bank-bank dan 1% kepada pelabur lain. Bagi tranche 30-tahun pula, sebanyak 83% telah diagihkan kepada pengurus dana, 10% kepada bank-bank, 4% kepada bank pusat dan kerajaan serta 3% kepada pelabur lain.

CIMB, HSBC, dan J.P. Morgan berperanan sebagai Joint Bookrunners dan Joint Lead Managers bagi terbitan ini. Selain itu, HSBC Amanah Malaysia dan J.P. Morgan merupakan Ejen Penstrukturan SDG. Struktur Syariah pula telah diluluskan oleh Board Shariah Committee CIMB Islamic Bank Berhad dan Global Shariah Supervisory Committee HSBC.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
22 April 2021


1 Syarikat global yang menyediakan penyelidikan, penarafan dan data analitikal alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada pelabur institusi dan syarikat.
NOT FOR DISTRIBUTION, DIRECTLY OR INDIRECTLY, IN OR INTO THE UNITED STATES (INCLUDING ITS TERRITORIES AND POSSESSIONS, ANY STATE OF THE UNITED STATES AND THE DISTRICT OF COLUMBIA) OR TO U.S. PERSONS
THE INFORMATION CONTAINED HEREIN DOES NOT CONSTITUTE OR FORM A PART OF ANY OFFER OR SOLICITATION TO PURCHASE OR SUBSCRIBE FOR SECURITIES IN THE UNITED STATES OR ANY OTHER JURISDICTION IN WHICH SUCH OFFER OR SALE WOULD BE UNLAWFUL. THE SECURITIES REFERRED TO HEREIN HAVE NOT BEEN AND WILL NOT BE REGISTERED UNDER THE U.S. SECURITIES ACT OF 1933, AS AMENDED (THE “SECURITIES ACT”), OR ANY STATE SECURITIES LAWS OF THE UNITED STATES OR ELSEWHERE, AND MAY NOT BE OFFERED OR SOLD IN THE UNITED STATES OR TO, OR FOR THE ACCOUNT OR BENEFIT OF, U.S. PERSONS (AS DEFINED IN REGULATION S UNDER THE SECURITIES ACT (“REGULATION S”)), ABSENT REGISTRATION OR AN APPLICABLE EXEMPTION FROM REGISTRATION UNDER THE SECURITIES ACT AND APPLICABLE STATE SECURITIES LAWS OF THE UNITED STATES OR ANY OTHER JURISDICTION. THE ISSUER HAS NOT BEEN AND WILL NOT BE REGISTERED UNDER THE U.S. INVESTMENT COMPANY ACT OF 1940, AS AMENDED (THE “INVESTMENT COMPANY ACT”), IN RELIANCE UPON THE EXCEPTION PROVIDED BY SECTION 3(c)(7) THEREOF. ACCORDINGLY, THE SECURITIES REFERRED TO HEREIN ARE BEING OFFERED AND SOLD IN THE UNITED STATES ONLY TO PERSONS REASONABLY BELIEVED TO BE QUALIFIED INSTITUTIONAL BUYERS, WITHIN THE MEANING OF RULE 144A UNDER THE SECURITIES ACT WHO ARE ALSO QUALIFIED PURCHASERS, AS DEFINED IN SECTION 2(a)(51)(A) OF THE INVESTMENT COMPANY ACT, AND TO NON-U.S. PERSONS IN OFFSHORE TRANSACTIONS IN RELIANCE ON REGULATION S.
THERE IS NO INTENTION TO REGISTER ANY PORTION OF ANY OFFERING IN THE UNITED STATES OR TO CONDUCT A PUBLIC OFFERING OF SECURITIES IN THE UNITED STATES OR IN ANY OTHER JURISDICTION. A RATING IS NOT A RECOMMENDATION TO BUY, SELL OR HOLD ANY SECURITIES AND MAY BE SUBJECT TO SUSPENSION, REDUCTION OR WITHDRAWAL AT ANY TIME BY THE RATING AGENCIES.