Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020

Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020

UCAPAN YB MENTERI KEWANGAN

BAGI BACAAN KALI KEDUA

PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG CUKAI JUALAN (PINDAAN) 2020


Tuan Yang Di Pertua,

Rang Undang-undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020 yang dicadangkan merupakan pindaan susulan kepada pindaan yang dilaksanakan ke atas Akta Kastam 1967. Di samping itu, pindaan juga dibuat bagi memperkemas pelaksanaan dan layanan cukai jualan, antaranya dengan menambahbaik peruntukan berkaitan pemberhentian tanggungan untuk berdaftar dan pembayaran balik cukai jualan secara tidak wajar.
Tuan Yang Di Pertua,

2. Saya memohon untuk menghuraikan setiap fasal di dalam Rang Undang-undang ini. Rang Undang-undang ini mempunyai 13 fasal seperti berikut:-

  1. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan;
  2. Fasal 2 bertujuan meminda seksyen 17 bagi memperuntukkan bahawa kaedah untuk menentukan nilai jualan barang bercukai bagi mana-mana pengilang berdaftar yang telah terhenti bertanggungan untuk berdaftar adalah nilai jualan barang bercukai pada bulan itu dan sebelas bulan sebaik sebelum bulan itu iaitu kaedah sejarah (historical method);
  3. Fasal 3, 4 dan 5 bertujuan meminda subseksyen 27(1), perenggan 31(1)(b) dan subseksyen 32(2) masing-masing sebagai pindaan berbangkit daripada penomboran semula dalam Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2019;
  4. Fasal 6 bertujuan memasukkan seksyen baharu 35A bagi membolehkan mana-mana pengilang berdaftar untuk memotong jumlah pembayaran balik cukai jualan di bawah perenggan 35(3)(c) atau di bawah seksyen 23 atau 41A dengan jumlah cukai yang kena dibayar daripada penyatanya dalam seksyen 26. Sekiranya terdapat baki ke atas amaun pembayaran balik, baki tersebut hendaklah dibayar balik kepada pengilang berdaftar. Ketua Pengarah Kastam boleh memegang keseluruhan atau sebahagian amaun yang boleh dibayar balik sebagai kredit untuk bayaran cukai di masa hadapan;
  5. Fasal 7 bertujuan meminda seksyen 69(1) untuk memberi pegawai cukai jualan yang hak kuasa untuk membuat penyitaan di mana-mana premis;
  6. Fasal 8 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu iaitu seksyen 69A bagi memberi pegawai cukai jualan yang hak kuasa untuk mengelak (to seal) barang-barang, dokumen, artikel atau benda, atau tempat, premis, bekas muatan, bungkusan atau pengangkut yang di dalamnya barang, dokumen, artikel atau benda itu dijumpai.
  7. Fasal 9 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu iaitu seksyen 72B bagi memperuntukkan kuasa kepada pegawai cukai jualan yang hak mempunyai segala kuasa seorang pegawai polis berpangkat Koperal dan lebih rendah dan kuasa seorang pegawai penjara berpangkat Sarjan dan lebih rendah di bawah Akta Penjara 1995 apabila membawa dan menjaga orang dalam tahanan. Fasal ini juga bertujuan untuk memberikan kuasa seorang penjaga balai polis kepada seorang pegawai cukai jualan yang di mana pejabat pegawai jualan tersebut hendaklah disifatkan sebagai balai polis.
  8. Fasal 10 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 74A untuk mengadakan peruntukan bagi kebolehpercayaan keterangan ejen provokasi dan kebolehterimaan sebagai keterangan apa-apa pernyataan yang diberi kepada ejen provokasi, oleh seseorang yang kemudiannya dipertuduh atas suatu kesalahan;
  9. Fasal 11 bertujuan meminda seksyen 88A untuk menjadikannya suatu kesalahan bagi mana-mana orang yang mendapatkan pemotongan cukai jualan secara tidak wajar di bawah seksyen 23, seksyen 35A atau seksyen 41A;
  10. Fasal 12 bertujuan meminda seksyen 97 bagi menghendaki pelikuidasi sesuatu syarikat yang bertanggungan ke atas cukai jualan yang genap masa dan kena dibayar untuk memberikan notis penggulungan syarikat kepada Ketua Pengarah Kastam;
  11. Fasal 13 bertujuan meminda seksyen 98 untuk mengkehendaki penerima bagi harta mana-mana orang yang bertanggungan ke atas apa-apa cukai jualan yang genap masa dan kena dibayar yang dilantik untuk memberikan notis mengenai pelantikan itu kepada Ketua Pengarah Kastam. Penerima juga hendaklah sebelum melupuskan apa-apa aset orang itu mengetepikan sejumlah wang daripada aset untuk membayar cukai jualan yang menjadi genap masa dan kena dibayar ke atas barang bercukai yang telah dijual, dikilangkan, dibeli atau diperoleh; dan
  12. Fasal-fasal lain yang tidak dinyatakan secara spesifik adalah merupakan pindaan kecil atau consequential in nature.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan.