Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020

Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020

MESYUARAT DEWAN RAKYAT

UCAPAN YB MENTERI KEWANGAN

BAGI BACAAN KALI KEDUA

PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG CUKAI PERKHIDMATAN (PINDAAN) 2020


Tuan Yang Di Pertua,

Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 yang dicadangkan merupakan pindaan susulan kepada pindaan yang dilaksanakan ke atas Akta Kastam 1967. Selain itu, pindaan juga dibuat bagi memperkemas pelaksanaan dan layanan cukai perkhidmatan, antaranya dengan menambah baik peruntukan berkaitan pemberhentian tanggungan untuk berdaftar, mewajibkan pemakluman sekiranya orang berdaftar tidak lagi memberikan perkhidmatan bercukai bagi apa-apa perkhidmatan bercukai yang telah didaftarkan dan pindaan bagi membolehkan pulangan balik kepada orang kena cukai dibuat secara potongan melalui penyata.

Tuan Yang Di Pertua,

2. Saya memohon untuk menghuraikan setiap fasal di dalam Rang Undang-undang ini. Rang Undang-undang ini mempunyai 21 fasal seperti berikut:-

  1. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan;
  2. Fasal 2 bertujuan meminda seksyen 2 untuk mengadakan peruntukan bagi takrif baharu bagi “barang” dan “pengangkut”. Fasal ini turut bertujuan untuk meminda takrif “foreign service provider” dalam teks Bahasa Inggeris untuk menjadikannya selaras dengan teks Bahasa kebangsaan.
  3. Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 18 bagi memperuntukkan bahawa kaedah untuk menentukan nilai perkhidmatan bercukai bagi mana-mana orang berdaftar yang telah terhenti bertanggungan untuk berdaftar adalah pada bulan itu dan sebelas bulan sebaik sebelum bulan itu iaitu kaedah sejarah (historical method);
  4. Fasal 4 bertujuan untuk meminda perenggan 19(1)(a) untuk menjelaskan bahawa mana-mana orang berdaftar di bawah seksyen 13 atau 14 yang berhenti menjalankan perniagaan yang memberikan apa-apa perkhidmatan bercukai untuk memberitahu Ketua Pengarah Kastam secara bertulis dalam tempoh 30 hari dari tarikh pemberhentian itu;
  5. Fasal 5 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 20A untuk mengadakan peruntukan bagi perubahan pendaftaran dan butir-butir pendaftaran orang berdaftar dan tarikh kuat kuasa perubahan itu;
  6. Fasal 6, 7 dan 8 bertujuan meminda subseksyen 27(1), perenggan 31(1)(b) dan subseksyen 32(2) masing-masing sebagai pindaan berbangkit daripada penomboran semula dalam Akta Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019;
  7. Fasal 9 bertujuan memasukkan seksyen baharu 34A bagi membolehkan Ketua Pengarah Kastam Kastam mengarahkan mana-mana orang berdaftar untuk memotong jumlah pembayaran balik dari jumlah cukai perkhidmatan yang perlu dibayar di bawah perenggan 34(3)(b) atau di bawah seksyen 23 atau 39 dengan jumlah cukai yang kena dibayar daripada penyatanya di bawah seksyen 26. Sekiranya terdapat baki ke atas amaun pembayaran balik, baki tersebut hendaklah dibayar balik kepada orang berdaftar. Ketua Pengarah Kastam Kastam boleh memegang keseluruhan atau sebahagian amaun yang boleh dibayar balik sebagai kredit untuk bayaran cukai di masa hadapan;
  8. Fasal 10 bertujuan meminda seksyen 40 untuk meluaskan pemakaian seksyen ini kepada orang berdaftar asing berhubungan dengan peremitan cukai perkhidmatan, surcaj yang terakru, atau penalti, fi atau wang lain kena dibayar;
  9. Fasal 11 bertujuan memotong seksyen 56A, Bahagian IX Akta 807 dan memasukkannya sebagai seksyen baharu 63B, Bahagian X;
  10. Fasal 12 bertujuan memasukkan subseksyen baharu (4A) ke dalam seksyen 56A, Bahagian IXA untuk memberi Ketua Pengarah Kastam kuasa, atas permohonan, untuk meluluskan cukai perkhidmatan berkenaan dengan perkhidmatan digital yang diberikan oleh berdaftar asing menjadi genap masa pada masa invois itu dikeluarkan;
  11. Fasal 13 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 56GA untuk membenarkan orang berdaftar asing untuk membuat potongan atau tambahan cukai perkhidmatan dalam penyatanya jika nota kredit dan nota debit dikeluarkan di bawah hal keadaan dan syarat yang ditetapkan;
  12. Fasal 14 bertujuan memasukkan subseksyen baharu (4A) ke dalam seksyen 56H untuk menghendaki orang berdaftar asing yang terhenti daripada bertanggungan untuk didaftarkan di bawah seksyen 56D untuk mengemukakan penyata kepada Ketua Pengarah Kastam;
  13. Fasal 15 bertujuan untuk meminda seksyen 62 untuk memberi pegawai cukai perkhidmatan yang hak kuasa untuk membuat penyitaan di mana-mana premis. Pindaan juga dibuat bagi meluaskan pemakaian seksyen ini kepada penyitaan apa-apa barang, dokumen, artikel atau benda bagi semua kandungan apa-apa pengangkut yang di dalamnya barang, dokumen, artikel atau benda itu dijumpai;
  14. Fasal 16 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu, iaitu seksyen 62A bagi memberi pegawai cukai perkhidmatan yang hak kuasa untuk mengelak (to seal) barang-barang, dokumen, artikel atau benda, atau tempat, premis, bekas muatan, bungkusan atau pengangkut yang di dalamnya barang, dokumen, artikel atau benda itu dijumpai;
  15. Fasal 17 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu iaitu 63A bagi memperuntukkan kuasa kepada pegawai cukai perkhidmatan yang hak mempunyai segala kuasa seorang pegawai polis berpangkat Koperal dan lebih rendah dan kuasa seorang pegawai penjara berpangkat Sarjan dan lebih rendah di bawah Akta Penjara 1995 apabila membawa dan menjaga orang dalam tahanan. Fasal ini juga bertujuan untuk memberikan kuasa seorang penjaga balai polis kepada seorang pegawai cukai perkhidmatan yang di mana pejabat pegawai cukai perkhidmatan tersebut hendaklah disifatkan sebagai balai polis. Fasal ini juga bertujuan untuk memasukkan seksyen 56A dalam Bahagian IX yang telah dipotong sebagai seksyen baharu 63B;
  16. Fasal 18 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 65A untuk mengadakan peruntukan bagi kebolehpercayaan keterangan ejen provokasi dan kebolehterimaan sebagai keterangan apa-apa pernyataan yang diberi kepada ejen provokasi, oleh seseorang yang kemudiannya dipertuduh atas suatu kesalahan;
  17. Fasal 19 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 73A untuk menjadikannya suatu kesalahan bagi mana-mana orang yang mendapatkan pemotongan cukai perkhidmatan secara tidak wajar;
  18. Fasal 20 bertujuan untuk meminda seksyen 82 untuk menghendaki pelikuidasi sesuatu syarikat yang bertanggungan ke atas cukai perkhidmatan yang genap masa dan kena dibayar untuk memberikan notis penggulungan syarikat kepada Ketua Pengarah Kastam;
  19. Fasal 21 bertujuan meminda seksyen 83 untuk mengkehendaki penerima bagi harta mana-mana orang yang bertanggungan ke atas apa-apa cukai perkhidmatan yang genap masa dan kena dibayar yang dilantik untuk memberikan notis mengenai pelantikan itu kepada Ketua Pengarah Kastam Kastam. Penerima juga hendaklah sebelum melupuskan apa-apa aset orang itu mengetepikan sejumlah wang daripada aset sebagai mencukupi untuk mengadakan peruntukan bagi membayar cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan bercukai yang diberikan atau perkhidmatan bercukai diimport yang diperolehi yang menjadi genap masa dan kena dibayar; dan
  20. Fasal-fasal lain yang tidak dinyatakan secara spesifik adalah merupakan pindaan kecil atau consequential in nature.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan.