Pembentangan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2020

Pembentangan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2020

PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG

LANGKAH-LANGKAH SEMENTARA BAGI PEMBIAYAAN KERAJAAN (PENYAKIT KORONAVIRUS 2019 (COVID-19)) (PINDAAN) 2020


Datuk Yang Di Pertua,

1. Peruntukan Tambahan perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 ini dibentangkan bagi memperolehi kelulusan terhadap perbelanjaan tambahan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi KITA PRIHATIN dan Langkah-Langkah Belanjawan 2021 yang berkaitan oleh Dewan yang mulia ini.

2. Saya ingin menekankan betapa pentingnya Peruntukan Tambahan ini. Ia adalah kesinambungan kepada usaha Kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi. Ia akan akan memastikan Kerajaan dapat memberi sokongan berterusan yang diperlukan oleh semua pihak, termasuk frontliners dan agensi-agensi kesihatan kita dalam memerangi penularan wabak COVID-19. Ia akan memastikan golongan B40 dan rakyat yang terkesan mendapat bantuan bagi meringankan beban mereka. Ia akan menyumbang kepada usaha mengekalkan pemulihan ekonomi negara yang dicapai sejak bulan Mac demi kesejahteraan bersama kita semua. Dalam kata mudahnya, Peruntukan Tambahan tidak kurang pentingnya daripada Belanjawan 2021 yang telah diluluskan 2 hari lalu oleh YB-YB sekalian.

Datuk Yang Di-Pertua,

3. Anggaran Perbelanjaan Tambahan Kumpulan Wang COVID-19 yang dibentangkan adalah berjumlah dua puluh bilion ringgit (RM20 bilion), untuk membiayai Perbelanjaan Pakej Rangsangan Ekonomi KITA PRIHATIN dan Inisiatif Belanjawan 2021 di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

4. Anggaran Perbelanjaan Tambahan yang dipohon untuk diluluskan di bawah Fasal 2 Rang Undang-undang yang dibentangkan ini adalah sebanyak dua puluh bilion ringgit (RM20 bilion), yang boleh diringkaskan pecahannya seperti berikut:

  1. Pertama, sebanyak empat belas bilion ringgit (RM14 bilion), adalah bagi menampung pemberian Bantuan Prihatin Nasional;
  2. Kedua, sebanyak empat bilion ringgit (RM4 bilion), adalah bagi menampung perbelanjaan berkaitan COVID-19;
  3. Ketiga, sebanyak satu perpuluhan lima bilion ringgit (RM1.5 bilion), adalah bagi menampung keperluan melanjutkan Program Subsidi Upah; dan
  4. Keempat, sebanyak lima ratus juta ringgit (RM500 juta) adalah bagi pemberian Geran Khas Prihatin.

Datuk Yang di-Pertua,

5. Pindaan Rang Undang-Undang ini hanya akan melibatkan pindaan seperti berikut:

  1. Pindaan had amaun butiran 1 - Program Subsidi Upah dari RM16.8 bilion kepada RM18.3 bilion. Ini berikutan langkah penambahbaikan seperti yang diumumkan dalam KITA PRIHATIN dan Belanjawan 2021;
  2. Pindaan had amaun butiran 2 - Bantuan Prihatin Nasional dari RM11.2 bilion kepada RM25.2 bilion. Ini melibatkan keperluan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) sebanyak RM7 bilion, bayaran Bantuan Prihatin Rakyat bagi tahun 2021 dan bayaran bantuan tunai lain yang berkaitan dengan kebajikan masyarakat sebanyak RM7 bilion. Kesemua bantuan-bantuan ini diletakkan sebagai sub-program kepada Bantuan Prihatin Nasional;
  3. Pindaan had amaun butiran 6 - Geran Khas Prihatin dari RM1.9 bilion kepada RM2.4 bilion mengambil kira pembukaan semula permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) yang meningkatkan jumlah penerima mencecah 800 ribu; dan
  4. Pindaan nama dan had amaun bagi butiran 8 - Peruntukan bagi Kementerian Kesihatan bagi Perbelanjaan Berkaitan COVID-19 berjumlah RM1 bilion kepada Peruntukan bagi Perbelajaan Berkaitan COVID-19 berjumlah RM5 bilion mengambilkira komitmen Kerajaan dalam menyediakan vaksin COVID-19.

Datuk Yang Dipertua,

6. Kesimpulannya, pindaan RUU ini perlu diluluskan. Pelbagai inisiatif yang kritikal untuk kesejahteraan dan kehidupan rakyat hanya dapat dibiayai melalui peningkatan siling RM20 bilion bagi Kumpulan Wang COVID-19.

7. Ini termasuk BPN 2.0, yang mana pembayaran fasa kedua sebanyak RM2 bilion yang akan dibayar pada bulan Januari 2021 kelak. Selain itu, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang telah ditambah baik dari program Bantuan Sara Hidup (BSH) juga dibiayai di bawah kumpulan wang ini.

8. Kerajaan juga telah memberi komitmen penuh dalam menyediakan Vaksin COVID-19 dan peruntukan tersebut memerlukan peningkatan siling Kumpulan Wang COVID-19 yang dibentangkan. Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan pihak GAVI pada 24 November 2020 bagi memuktamadkan penyertaan Malaysia dalam COVAX Facility. Kementerian Kewangan telahpun membuat bayaran sumbangan Kerajaan kepada GAVI sebanyak dua puluh dua juta UD dollar (USD22 juta) atau sembilan puluh empat juta ringgit (RM94 juta). Bayaran ini dibiayai melalui Kumpulan Wang COVID-19. Kerajaan memerlukan peningkatan siling untuk membiayai bayaran sepenuhnya kepada GAVI serta bayaran kepada pembekal vaksin yang lain termasuk Pfizer Inc.

9. Kelangsungan program-program pekerjaan termasuk Program Subsidi Upah, insentif pengambilan pekerja dan program kemahiran di mana peningkatan dan penambahbaikan juga bergantung kepada peruntukan di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

10. Ahli Yang Berhormat sekalian, pada kesempatan ini, izinkan saya mengulas mengenai satu soalan yang saya pasti akan berbangkit iaitu “mengapakah Kerajaan tidak menaikkan sahaja peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion?” Ini adalah antara perkara yang dibangkitkan oleh beberapa ahli-ahli Yang Berhormat. Berhubung perkara ini, saya ingin mengatakan bahawa:

  1. Pertama, peruntukan Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM45 bilion dan InsyaAllah, bakal ditambah kepada RM65 bilion, adalah suntikan fiskal langsung. Kita harus ingat bahawa keseluruhan pakej rangsangan bernilai RM305 bilion manakala Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion. Jumlah ini termasuk sumbangan daripada pelbagai sumber seperti Bank Negara Malaysia, GLC dan agensi-agensi Kerajaan, skim-skim jaminan, dan insentif percukaian. Saya menekankan perkara ini kerana usaha melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memulih ekonomi melibatkan sektor awam, swasta, NGO dan rakyat sendiri. Ia haruslah dilihat secara keseluruhannya.
  2. Kedua, di samping inisiatif-inisiatif Belanjawan 2021 yang bakal bermula pada tahun depan, masih ada pelbagai bantuan di bawah pakej PRIHATIN, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang masih berjalan seperti Program Subsidi Upah, BPN 2.0 dan GKP 2.0. Ini bermaksud masih ada peruntukan di dalam Kumpulan Wang COVID-19 yang masih tersedia.
  3. Ketiga, ini adalah usaha Kerajaan mengimbangi disiplin fiskal dan keperluan semasa, serta ruang untuk menambah rangsangan pada masa depan. Tambahan RM20 bilion Kumpulan Wang COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan RM65 bilion tidak akan melanggar had statutori hutang 60% KDNK untuk tahun 2021.
  4. Keempat dan akhir sekali, pendirian Kerajaan dalam isu ini adalah jelas dan konsisten. Saya pernah menyebut sebelum ini bahawa Kerajaan sentiasa memantau situasi semasa dan jika ada keperluan, Kerajaan akan meneliti saranan untuk menambah peruntukan Kumpulan Wang COVID-19 dari semasa ke semasa, dan menerima mana-mana cadangan YB-YB sekalian yang memanfaatkan rakyat. Pembentangan RUU Pindaan Peruntukan Tambahan pada hari ini adalah komitmen saya dan Kerajaan untuk memenuhi janji kepada YB-YB semua. Jika keperluan untuk meningkatkan peruntukan dan had statutori berbangkit, InsyaAllah Kerajaan bersedia untuk menghadap YB-YB sekalian sekali lagi.

Datuk Yang Di-Pertua,

11. Pada September lalu, Ahli-Ahli yang Berhormat Dewan ini telah meluluskan RUU pembiayaan COVID-19 yang pertama bernilai RM45 bilion. Ini telah membolehkan Kerajaan membiayai dan melaksanakan tidak kurang daripada 31 inisiatif dan bantuan yang telah dinyatakan dalam Jadual Akta COVID-19 tersebut.

12. Justeru, saya ingin menyeru ahli-ahli Dewan untuk bersama-sama sekali lagi memberi sokongan penuh bagi RUU ini supaya dapat meneruskan perjuangan bagi menangani impak COVID-19 demi kebajikan rakyat, kelangsungan perniagaan, pertumbuhan ekonomi, kelestarian kehidupan dan pemantapan perkhidmatan awam.

13. Langkah negara ke arah pemulihan penuh sedang menyaksikan satu momentum yang perlu diteruskan. Pasaran kita terus aktif dan kedudukan ringgit baru-baru ini telah mencecah paras tertinggi sejak dua tahun ini. Ini satu petanda jelas akan keyakinan terus pihak pelabur antarabangsa terhadap potensi pertumbuhan ekonomi dan industri modal teroka di Malaysia.

14. Maka, jangan momentum kita terhenti, biar setapak semalam kita lanjurkan selangkah hari ini, biarlah Dewan ini berkumandang dengan kata setuju dari semua untuk RUU ini diluluskan.

15. Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadangka.