Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

1.67 juta peminjam PTPTN dijangka terima manfaat insentif diskaun pinjaman

1.67 juta peminjam PTPTN dijangka terima manfaat insentif diskaun pinjaman

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Sejumlah 1.67 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menerima manfaat daripada insentif pemberian diskaun terhadap bayaran balik pinjaman itu yang diumumkan hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pemberian diskaun itu yang diumumkan dalam Bajet 2022 merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan berkenaan.

"Saya berharap dengan adanya insentif yang diberikan kerajaan ini, peminjam PTPTN dapat mengambil peluang untuk membuat bayaran balik mengikut kemampuan.

"Ini secara tidak langsung membantu kelangsungan pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 Nov ini hingga 30 April 2022.

Ia meliputi diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman serta diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Beliau berkata diskaun 10 peratus pula diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility