Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

69 Peratus Daripada Pakej Prihatin Telah Dilaksanakan Setakat 12 April – Tengku Zafrul

69 Peratus Daripada Pakej Prihatin Telah Dilaksanakan Setakat 12 April – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 14 April – Sehingga 12 April 2020, kerajaan telah melaksanakan enam daripada keseluruhan 10 langkah utama Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang bernilai RM180 bilion, atau 69 peratus daripada pakej tersebut, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata enam langkah tersebut adalah moratorium bayaran pinjaman institusi perbankan yang berjumlah RM100 bilion, kemudahan i-Lestari iaitu pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 bilion dan subsidi upah yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bernilai RM13.8 bilion.

“Ia juga termasuk pengurangan kadar minimum caruman pekerja KWSP yang berjumlah RM10 bilion, Bantuan PRIHATIN Nasional berjumlah RM10 bilion serta Kemudahan Bantuan Khas yang disediakan Bank Negara Malaysia bernilai RM5 bilion,” katanya menerusi siaran video di laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, perangkaan itu adalah berdasarkan kepada laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang dilaporkan oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

LAKSANA merupakan unit khas yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 16 Mac lepas untuk meneliti, memantau dan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan sampai ke setiap peringkat rakyat dan memanfaatkan golongan akar umbi.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata empat lagi langkah utama berbaki yang bernilai RM66 bilion, atau 25 peratus daripada keseluruhan nilai Pakej PRIHATIN akan mula dilaksanakan menjelang 1 Mei 2020, selaras dengan jadual pelaksanaan yang dirancang.

Langkah tersebut adalah kemudahan skim jaminan pinjaman oleh Danajamin yang berjumlah RM50 bilion dan Program Khidmat Rundingan Majikan oleh KWSP bagi membantu memberi penjimatan aliran tunai majikan sebanyak RM10 bilion.

“Ia juga termasuk Projek Kerajaan berskala kecil untuk memanfaatkan kontraktor kecil yang bernilai RM4 bilion dan Geran PRIHATIN Khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bernilai RM2.1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah perbelanjaan tambahan kerajaan di bawah Pakej PRIHATIN, setakat 12 April 2020, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM8.6 bilion atau 25 peratus daripada jumlah peruntukan kepada kementerian dan agensi pelaksanaan yang berkaitan.

“Masih ada banyak lagi pelaksanaan yang perlu dibuat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata meskipun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan akan memastikan jenteranya terus beroperasi bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan Pakej PRIHATIN, terutamanya langkah-langkah yang menyumbang kepada kebajikan rakyat dan peningkatan aktiviti ekonomi negara.

“Memandang kehadapan, saya berharap agar rakyat dan PKS yang masih belum mendapat manfaat yang disediakan, segera membuat permohonan.

“InshaAllah, kita akan cuba sedaya upaya untuk mempertimbangkan semua permohonan,” katanya.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility