Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Bajet 2022: Jendela akan dipergiat, teruskan usaha ketersambungan digital

Bajet 2022: Jendela akan dipergiat, teruskan usaha ketersambungan digital

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan dipergiat tahun depan dengan penyediaan RM700 juta untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 30 sekolah terutama di luar bandar.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan juga akan memperuntuk RM30 juta bagi kemudahan Internet di 40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak ketinggalan.

Beliau berkata perkhidmatan 5G juga akan diperluas tahun depan kepada 36 peratus dari kawasan kepadatan tinggi termasuk di bandar utama di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Penyediaan perkhidmatan 5G bakal melakar landskap teknologi baharu dan menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik dan pantas di samping merapatkan jurang digital serta mencipta peluang pekerjaan baharu,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi meningkatkan penerapan digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), beliau berkata kerajaan akan menaikkan Skim Geran Pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada RM200 juta dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro bumiputera di luar bandar.

Tengku Zafrul berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan mentransformasi 600 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia sebagai pusat sehenti untuk membimbing usahawan mikro menggunakan teknologi digital.

Beliau juga berkata kerajaan akan memperkenal program ‘Malaysia Digital Nomad’ untuk mewujudkan komuniti dan ekosistem nomad digital di negara ini dengan menggunakan sektor pelancongan sebagai pemangkin.

“Nomad digital ialah golongan yang menjana pendapatan secara dalam talian tanpa lokasi fizikal yang tetap. Golongan ini berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara terutama sebagai pelancong,” katanya.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility