Select your language
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kerajaan memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta antaranya melalui program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat dan Tekunita menerusi Tekun Nasional bagi membantu usahawan wanita yang terkesan akibat COVID-19 selain meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan juga akan melaksanakan program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.
“Insentif dalam bentuk asas modal perniagaan akan diberikan selain program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian serta program ini akan memberi manfaat kepada 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal,” katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak RM13 juta diperuntukkan bagi memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia termasuk mewujudkan 100 perjawatan baharu selain melaksanakan Skuad Waja bagi program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita di seluruh negara.
Katanya, kerajaan juga akan menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita untuk merancakkan penyertaan kumpulan itu dalam sektor ekonomi antaranya melalui latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.
“Selain itu, sejumlah lebih RM11 juta disediakan sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks, katanya.
Kerajaan turut memberi perhatian dalam memberi sokongan kepada ibu berkerjaya dan sebanyak sebanyak RM30 juta disediakan untuk kemudahan taska di bangunan kerajaan terutamanya di hospital dan universiti awam.
Dalam pada itu, sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak ketika bekerja, kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehinggan RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadikan sehingga tahun taksiran 2023.
Selain itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam yang dijangka berkuat kuasa pada 1 Sept 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.
Menyentuh aspek kebersihan dan kesihatan diri remaja wanita, beliau berkata kerajaan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan mengedarkan kit asas kebersihan secara percuma kepada 130,000 remaja wanita golongan B40 setiap bulan.
Beliau berkata aspek kesihatan dan kebersihan diri remaja wanita amat penting dalam mengurangkan sebarang risiko kesihatan serta keciciran sekolah.
Tengku Zafrul berkata satu isu serius dikenal pasti oleh Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah dalam satu sesi libat urus bahawa dianggarkan 130,000 remaja wanita daripada Keluarga B40 di Malaysia tidak mendapat akses kepada produk kebersihan seperti tuala wanita atas sebab kekangan kewangan.