Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Bajet 2022: RM423 juta kepada MOSTI, KPT bagi pergiat aktiviti R&D

Bajet 2022: RM423 juta kepada MOSTI, KPT bagi pergiat aktiviti R&D

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kerajaan menyediakan RM423 juta di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan itu termasuk RM295 juta kepada universiti awam untuk terus berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalak kerjasama dengan industri.

“Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan RM12 juta secara geran padanan melalui ‘Collaborative Research in Engineering, Science and Technology’ dalam bidang seperti ‘Gallium Nitride’ untuk diaplikasikan dalam LED (diod pemancar cahaya) dan kenderaan elektrik,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata RM30 juta pula akan disediakan bagi melaksanakan Hab Inovasi: Revolusi Industri Keempat di bawah Taman Teknologi Malaysia sebagai pusat sehenti untuk ekosistem inovasi dengan pembangunan teknologi baharu muncul seperti dron, robotik dan kenderaan berautonomi.

Katanya, hab itu dijangka memberi manfaat dan pendedahan kepada 10,000 bakal usahawan.

Selain itu, beliau memaklumkan Cradle Fund Sdn Bhd sebagai agensi penyelaras ekosistem startup (permulaan) akan diperuntukkan RM20 juta untuk mempergiat usaha memulih dan membina daya tahan ekonomi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata strategi MyStartup akan dilaksanakan secara berfasa untuk memberi manfaat kepada lebih 2,500 syarikat dan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan selari dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan memperuntukkan RM45 juta sebagai galakan transformasi teknologi ke arah revolusi industri keempat (Industry4WRD) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat tahap pertengahan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Katanya, Kawal Selia Sandbox Negara (NRS) di bawah Kementerian Kewangan iaitu FUTURISE akan digiatkan lagi untuk menjalankan kajian industri dan mengesyorkan langkah melancarkan inovasi dalam masyarakat dan memudah cara perniagaan bagi merancakkan inovasi dalam masyarakat.

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility