Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Bajet 2023: RM10 bilion dana pinjaman disediakan bagi galak aktiviti automasi dan pendigitalan PKS

Bajet 2023: RM10 bilion dana pinjaman disediakan bagi galak aktiviti automasi dan pendigitalan PKS

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini. Bajet 2023 adalah yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept tahun lepas. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) – Sejumlah RM10 bilion dana pinjaman disediakan untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata langkah itu juga untuk menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.

"Selain pembiayaan mikro, kerajaan juga menyediakan pinjaman yang menyokong syarikat kecil dan sederhana.

"Melalui Bank Negara Malaysia, RM10 bilion dana pinjaman disediakan antaranya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya bagi usahawan Bumiputera, kerajaan melalui TERAJU dengan dana RM135 juta akan menyediakan kemudahan pembiayaan sokongan antaranya di bawah Dana Kemakmuran Bumiputera.

Tengku Zafrul berkata sejumlah RM200 juta turut disediakan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bagi menyediakan pembiayaan dan program pembangunan keusahawanan untuk Bumiputera yang terlibat dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan.

Sebagai pelengkap kepada inisiatif pembiayaan, katanya kerajaan bercadang untuk melanjutkan pengecualian duti setem sebanyak 100 peratus ke atas perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman atau pembiayaan sehingga 2024.

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility