Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Perkhidmatan cawangan bank bergerak dilengkapi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak akan dilancarkan hujung Januari 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) menjalin kerjasama dengan kerajaan Sarawak dan beberapa institusi kewangan iaitu Agrobank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan RHB Bank dalam usaha meningkatkan rangkuman kewangan serta menambah baik penyediaan kemudahan akses perkhidmatan kewangan.
"Pelbagai usaha berterusan dan saluran alternatif juga disediakan oleh institusi kewangan bagi menyokong dan meningkatkan penyampaian kemudahan asas perkhidmatan perbankan di Sarawak termasuk pelantikan ejen bank," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Susan Chemerai Anding berkenaan perkhidmatan bank bergerak yang bakal diperluas di Sarawak termasuk bank yang terlibat, tarikh beroperasi dan kawasan yang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu di Sarawak.
Tengku Zafrul berkata BNM juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan institusi-institusi kewangan untuk memperluaskan kemudahan perkhidmatan perbankan terutamanya kepada masyarakat yang menetap di kawasan luar bandar.
"Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah menggalakkan pembangunan saluran hantaran kewangan berasaskan teknologi seperti perbankan internet dan mudah alih serta e-dompet dengan transaksi perbankan boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa," katanya.