Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 21 April – Bank-bank domestik terbabit telah meluluskan pinjaman sebanyak RM2.7 bilion pada kadar faedah 3.5 peratus untuk lebih 5,000 Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) sehingga 15 April, 2020.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ini membabitkan Dana Pinjaman Mudah PKS di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Daripada RM6.3 bilion yang disediakan, sehingga 15 April 2020, pinjaman sebanyak RM2.7 bilion untuk lebih 5,000 PKS dengan kadar faedah 3.5 peratus telah diluluskan oleh bank-bank domestik yang terlibat.
“Ini adalah peningkatan daripada RM1.5 bilion untuk 3,000 PKS pada minggu lalu,” katanya dalam laporan LAKSANA Kedua, Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin di sini, hari ini.
Tengku Zafrul juga yakin menerusi jaminan kerajaan sehingga 80 peratus itu dapat mendorong bank-bank untuk mempermudah kelulusan permohonan pinjaman dan langkah tersebut akan terus meningkat pada minggu-minggu akan datang.
“Saya berharap kemudahan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua penerima. Bagi yang berminat untuk memohon, bolehlah menghubungi mana-mana bank tempatan untuk panduan lanjut,” kata beliau.