Bayaran BPR fasa tiga dikreditkan mulai Selasa – Ismail Sabri

Bayaran BPR fasa tiga dikreditkan mulai Selasa – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini (28 Sept) secara berperingkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembayaran itu yang akan memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR dijangka selesai pada 30 Sept.

"Bayaran Fasa 3 dan rayuan BPR ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata untuk Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima.

Bayaran dibuat mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak, katanya.

Ismail Sabri menjelaskan pembayaran Fasa 3 adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima oleh penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

Perdana menteri berkata kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sentiasa terbela.

Katanya antara lain, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak pada Oktober hingga Disember 2021.

"Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

"Keluarga Malaysia boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.