Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 6 Nov - Kerajaan memperuntukkan RM250 juta sebagai insentif kepada majikan swasta yang menjalankan program perantisan untuk graduan baharu yang dijangka dapat memanfaatkan hingga 50,000 siswazah.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata di bawah inisiatif itu, kerajaan akan menyediakan insentif RM1,000 sebulan hingga tiga bulan bagi setiap graduan baharu yang menyertai program perantisan tersebut.
“Sebagai tambahan, majikan juga boleh menuntut geran hingga RM4,000 untuk program latihan bagi perantis tersebut,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata dalam usaha membudayakan transaksi kewangan tanpa tunai, kerajaan melalui Program eBelia, akan mengkreditkan RM50 secara one-off ke dalam akaun e-dompet mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun.
“Menerusi peruntukan RM75 juta, inisiatif ini dijangka memanfaatkan lebih 1.5 juta belia,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan memperuntukkan RM19 juta untuk melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang bertujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat demi mengurangkan risiko menghidapi penyakit diabetes, hipertensi dan obesiti.
“Sebanyak RM28 juta juga disediakan bagi melaksanakan Program MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire untuk komuniti OKU,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga memperuntukkan RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara.
“Bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi, kerajaan akan menyediakan RM55 juta untuk program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita, termasuk RM15 juta kepada pembangunan sukan elektronik (e-Sukan).
“Bagi membantu pengusaha industri sukan, RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim Tekun Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup sihat dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,000, iaitu tambahan RM500 yang dikhususkan untuk perbelanjaan berkaitan sukan termasuk bayaran penyertaan pertandingan sukan.
Skop pelepasan berkenaan juga diluaskan untuk meliputi langganan surat khabar elektronik, katanya.
-- BERNAMA