Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Bernama - Elaun Guru Takmir Dinaikkan Kepada RM900

Bernama - Elaun Guru Takmir Dinaikkan Kepada RM900

 

KUALA LUMPUR, 6 Nov - Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun guru takmir daripada RM800 kepada RM900 sebulan menerusi Belanjawan 2021 bagi menghargai jasa 4,000 golongan berkenaan sebagai antara penggerak komuniti di peringkat kariah.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut mengumumkan pemberian bayaran khas one-off sebanyak RM500 kepada imam, bilal, siak, noja, merbut, guru takmir, dan guru KAFA, yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 700,000 orang.

Tengku Zafrul berkata ia merupakan antara inisiatif kerajaan menerusi usaha memartabatkan syiar Islam di bawah agenda keterangkuman, menyaksikan sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata kerajaan akan memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama antara Yayasan Wakaf Malaysia dengan agensi-agensi kerajaan persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap dan dapat memaksimumkan aset wakaf pada masa hadapan,” katanya.

Dari aspek pemerkasaan bumiputera, beliau berkata sejumlah RM11.1 bilion pula diperuntukkan untuk menyokong pembangunan bumiputera dan mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum.

“Antaranya sejumlah RM6.5 bilion ringgit diperuntukkan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi bumiputera seperti Mara dan UiTM bagi menjalankan prgram khusus termasuk pendigitalan pembelajaran TVET dan menaik taraf program peringkat sijil ke diploma,” katanya.

Beliau berkata sejumlah RM510 juta pula diperuntukkan bagi tujuan pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan PKS mikro bumiputera melalui TEKUN dan PUNB dan RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank. 

“Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). RM1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program khusus untuk bumiputera,” katanya.

Tengku Zafrul berkata RM750 juta juga disediakan kepada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi meningkatkan nilai pegangan bumiputera dalam sektor hartanah bagi pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu.

-- BERNAMA

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility