Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 6 Nov - Kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada unit transformasi masyarakat India bagi memperkasakan sosioekonomi komuniti India, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Berucap pada pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini, beliau berkata selain itu, bagi kaum Cina pula, sejumlah RM177 juta disediakan untuk program pembaikan fasiliti pendidikan, rumah dan kemajuan kampung baru termasuk RM100 juta pembiayaan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
Selain itu, TEKUN akan menyediakan RM20 juta khusus untuk program skim pembangunan usahawan masyarakat India dan RM5 juta untuk pembangunan usahawan bagi komuniti lain.
“Program pembangunan komuniti merangkumi semua peringkat masyarakat turut menjadi tumpuan kerajaan,” katanya.
Belanjawan yang dibentangkan hari ini, bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” menyaksikan kerajaan memperuntukkan RM322.5 bilion untuk tahun 2021.
-- BERNAMA