Pilih bahasa anda

KUALA LUMPUR, 6 Nov - Kerajaan bercadang memberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun kepada syarikat pelabur yang mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) institusi penyelidikan awam termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata cadangan itu bertujuan mewujudkan ekosistem yang lebih kompetitif dan menggalakkan aktiviti R&D serta melahirkan penyelidik yang bermutu tinggi.
Ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata galakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D berasaskan bukan sumber, akan diperkenalkan semula.
Selain itu, ia juga bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D oleh institusi penyelidikan awam termasuk IPTA akan diperluaskan kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta.
Tarikh kuat kuasa cadangan ini adalah bagi permohonan yang diterima oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia mulai esok hingga 31 Disember 2025.
-- BERNAMA