Cadangan naik had siling Kumpulan Wang COVID-19, statutori hutang untuk bantu rakyat – Tengku Zafrul

Cadangan naik had siling Kumpulan Wang COVID-19, statutori hutang untuk bantu rakyat – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Cadangan Kerajaan untuk meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion ketika ini kepada RM110 bilion serta had statutori hutang negara adalah bertujuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan apabila ekonomi negara dibuka semula sepenuhnya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peningkatan had siling dan had statutori hutang negara yang baharu itu akan dibuat sejurus menerima kelulusan Parlimen.

"Dengan kelulusan jemaah menteri kita tingkatkan (had siling) Kumpulan Wang COVID-19 daripada siling perbelanjaan RM65 billion kepada RM110 billion manakala had statutori hutang negara akan dinaikkan daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 65 peratus," katanya pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Tengku Zafrul berkata ramai peniaga terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro dan PKS yang terkesan terutamanya dalam sektor peruncitan dan pelancongan akibat penutupan ekonomi, justeru kerajaan akan memberi bantuan kepada mereka.

"InsyaAllah, kita jangkakan menjelang akhir tahun ini, bergantung kepada situasi endemik.., rakyat dapat keluar dan perniagaan boleh dimulakan semula seperti biasa tetapi dalam keadaan norma baharu," jelasnya.

Menurutnya, strategi digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dinamik dan memfokus kepada keperluan ekonomi dan sosial akan membantu memimpin Malaysia untuk keluar daripada krisis pandemik COVID-19 secara sistematik dan selamat.

Selain itu, beliau turut menasihati peniaga dan rakyat agar tidak alpa dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila ekonomi dibuka semula memandangkan masih terdapat kes COVID-19 dalam beberapa sektor.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata penerbitan Kenyataan Pra-Belanjawan bagi Belanjawan 2022 yang pertama dalam sejarah negara oleh Kementerian Kewangan adalah bertujuan untuk memberikan gambaran awal mengenai hala tuju dan pendekatan yang diambil serta manfaat yang bakal dinikmati daripada belanjawan yang akan dibentangkan pada Oktober depan.

"Kementerian Kewangan sentiasa bersikap terbuka, memberi peluang kepada semua rakyat untuk bersama kementerian melalui platform maya, bertulis, dan buat pertama kalinya mengeluarkan kertas konsultasi awam untuk mendengar dengan lebih mendalam pendapat pakar-pakar dari luar," katanya.