Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

COVID: Kerjasama dengan pakar kesihatan, ekonomi dan sosial diperkukuh – PMO

COVID: Kerjasama dengan pakar kesihatan, ekonomi dan sosial diperkukuh – PMO

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Kerjasama dengan pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan sosial dalam menangani situasi pandemik COVID-19 dalam negara akan diperkukuh bagi memastikan keberkesanan tindakan kesihatan awam dan strategi pengurusan pesakit.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata kerjasama itu juga bertujuan memastikan pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan kerajaan dapat dinilai secara berterusan.

Menurutnya perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang diadakan secara sidang video hari ini, dengan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Penglibatan kumpulan profesional terutama pakar-pakar kesihatan awam dan ekonomi dalam pengurusan pandemik COVID-19 di dalam negara adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat berkenaan turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut PMO, kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran yang dihadapi, justeru kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengutamakan kebajikan rakyat, bersifat telus dan inklusif.

Bagi memastikan kelancaran PPN, agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional di bawah Kementerian Kewangan turut telah dilantik sebagai sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaraskan usaha kementerian serta agensi yang terlibat secara langsung.

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility