DFI perlu beri sokongan penuh dalam tempoh pemulihan negara – Tengku Zafrul

DFI perlu beri sokongan penuh dalam tempoh pemulihan negara – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Institusi-institusi kewangan pembangunan (DFI) perlu memberi sokongan penuh dalam tempoh pemulihan ekonomi negara, sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia, menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sokongan ini misalnya dari segi pembiayaan yang diperlukan untuk memulih dan memelihara perniagaan serta menyediakan pelbagai peluang pekerjaan yang menyokong kehidupan rakyat Malaysia secara langsung.

"Sokongan segera dari pihak DFI bagi menghindari impak jangka panjang ini terutamanya diperlukan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam sektor-sektor strategik seperti pertanian, pembangunan infrastruktur, aktiviti maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-67 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata pihak DFI memainkan peranan yang strategik dan penting dalam merangka strategi pemulihan ekonomi negara yang bersepadu, dengan menyumbang kepada usaha kritikal bagi memulih dan memelihara kapasiti perniagaan, selaras dengan objektif penubuhan DFI sebagai instrumen penting pembangunan sosio-ekonomi rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata DFI disaran merangka penyelesaian yang praktikal seperti pembiayaan yang tidak membebankan untuk membolehkan perniagaan kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin.

Mengulas keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus, beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

"Selain itu, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi," katanya.

Tengku Zafrul berkata ekonomi global terus pulih, disokong oleh peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

Bagi ekonomi Malaysia, beliau menjelaskan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19 telah memperlahankan momentum pertumbuhan.

"Bagaimanapun, pelonggaran yang diberikan secara berperingkat kepada lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi akan mengurangkan kesan tersebut dan membolehkan ekonomi terus berada pada landasan pemulihan.

"Pada masa hadapan, pelonggaran langkah-langkah pembendungan yang selanjutnya, kemajuan pesat program pemberian vaksin dalam negeri dan pengembangan permintaan global yang berterusan akan menyokong momentum pertumbuhan menjelang 2022," kata Tengku Zafrul.