Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen seliter

Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen seliter

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Harga runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter manakala harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter kepada RM2.76 mulai esok hingga 6 Okt ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

"Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel meskipun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk meningkat melebihi paras harga siling ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.