Indikator Nilai Ambang kes baharu dalam PPN akan ditukar – Tengku Zafrul

Indikator Nilai Ambang kes baharu dalam PPN akan ditukar – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Indikator nilai ambang kes baharu COVID-19 yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mungkin akan ditukar dengan nilai ambang yang lebih sesuai mengikut perkembangan dan situasi semasa negara.

Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pihaknya telah membentangkan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya nilai ambang kes baharu itu ditukar kepada nilai keseriusan kes mengikut kategori ataupun kes kematian.

"PPN ini dinamik, sekiranya kes telah menurun dan hanya kes bergejala ringan, jumlah kes baharu ini bukan lagi nilai ambang yang sesuai, kita akan lihat kapasiti kes di ICU (Unit Rawatan Rapi) dan kadar kematian.

“Perkara ini sedang dibincangkan dengan KKM (Kementerian Kesihatan) bagi menukar kepada nilai ambang lebih sesuai terutamanya di fasa ketiga apabila kita berjaya memberikan vaksin kepada 40 peratus penduduk dewasa negara," katanya dalam rancangan Agenda Awani di sini malam ini.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata cadangan perubahan itu dibuat berdasarkan contoh di negara lain seperti di United Kingdom yang merekodkan penurunan secara mendadak kes COVID-19 bergejala dan kemasukan ke hospital selepas lebih 40 peratus penduduknya lengkap divaksinasi.

"Oleh itu, apabila 40 peratus rakyat kita mendapat vaksinasi penuh, kita akan minta Majlis Pemulihan Negara (MPN) pertimbangkan perkara ini.

"Bagaimanapun pertimbangannya adalah tertakluk kepada pakar-pakar yang berkaitan," katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul dalam kenyataannya hari ini, berkata MPN bersetuju untuk menjemput parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, Warisan Sabah dan Pejuang Tanah Air serta wakil dari kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ahli anggotanya.

Selain itu katanya MPN menjemput pakar-pakar daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli perniagaan Tony Fernandes, penasihat Star Media Group Wong Chun Wai dan pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata penyertaan ahli daripada pelbagai latar belakang tersebut akan membantu MPN membuat keputusan paling tepat dan akan memberi impak positif dari segi perbincangan serta idea.

Katanya ia juga akan bagi menjamin ketelusan serta memastikan proses semak dan imbang dapat dilakukan sepanjang masa.