Inisiatif bank bergerak diperluas, libatkan 250 mukim – Kementerian Kewangan

Inisiatif bank bergerak diperluas, libatkan 250 mukim – Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Kementerian Kewangan (MoF) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) sedang berusaha untuk memperluas inisiatif bank bergerak dengan kerjasama institusi perbankan yang dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi inisiatif itu sepertimana diumumkan dalam pelan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun, 2021.

"Kerajaan akan menyediakan 30 unit bank bergerak di sekitar 250 mukim seluruh Malaysia, yang dikenalpasti tiada atau kekurangan akses kepada perkhidmatan perbankan asas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai cadangan pemasangan mesin juruwang automatik (ATM) bagi memberikan kemudahan tunai khususnya kepada penduduk di luar bandar.

Menurut Yamani Hafez, pemasangan ATM di kawasan bandar atau luar bandar adalah tertakluk kepada pihak industri perbankan yang mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos penyelenggaraan ATM dan tahap penggunaan sebagai justifikasi pemasangan kemudahan itu di sesebuah kawasan.

Sejak April 2020, fi bagi pengeluaran wang tunai telah dimansuhkan buat sementara waktu bagi memudahkan pengguna mengeluarkan wang dari mana-mana ATM, kata beliau.