Select your language
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari, Versi 1 (Taksonomi ASEAN) yang dikeluarkan oleh Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) adalah pencapaian penting yang menunjukkan komitmen rantau ini secara kolektif dan pendekatan bersesuaian ke arah ASEAN yang lebih lestari.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Kewangan (MoF) mengalu-alukan inisiatif serantau itu yang diadakan bersempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 Ke-26 (COP26).
Taksonomi ASEAN adalah inisiatif bersama badan sektoral kewangan, dengan Malaysia diwakili oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebagai antara 12 anggota ATB yang mewakili semua negara anggota ASEAN.
KASA dan MoF dalam kenyataan bersama hari ini berkata Taksonomi ASEAN bertujuan untuk memimpin modal dan pendanaan ke arah aktiviti hijau dan peralihan, seiring dengan komitmen ASEAN dalam Perjanjian Paris.
“Memandangkan ASEAN adalah rantau yang mempunyai ekonomi dan sistem kewangan yang berbeza-beza, taksonomi pelbagai peringkat ini akan memastikan penggunaannya secara inklusif dapat memberi manfaat kepada semua anggota ASEAN,” kata mereka.
Selain itu, inisiatif ini turut menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara karbon sifar seawal 2050, melengkapkan agenda pemulihan hijau negara, Aspirasi Pelaburan Negara dan tumpuan Bajet 2022 terhadap kelestarian dan pemulihan ekonomi.
“Ia turut sejajar dengan Taksonomi Berasaskan Prinsip dan Perubahan Iklim yang dikeluarkan BNM awal tahun ini dan komponen persekitaran Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) untuk pasaran modal Malaysia yang sedang dibangunkan SC.
“Taksonomi-taksonomi ini secara kolektif akan mewujudkan peluang dan menggalakkan lebih banyak aliran pelaburan, termasuk aliran dana asing dalam negara,” menurut kedua-dua kementerian.
Malah, KASA and MoF menegaskan peranan sektor kewangan dalam memacu agenda kelestarian negara adalah sangat penting.
“Sehubungan itu, Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantaraan berasaskan Nilai oleh BNM menjadi panduan berguna kepada institusi kewangan untuk mengambil kira pertimbangan risiko persekitaran, sosial dan tadbir urus dalam sistem pengurusan risiko mereka sendiri.
“SC pula telah memperkenalkan pelbagai inisiatif SRI sejak 2014 bagi membangunkan ekosistem SRI yang kondusif untuk pasaran modal,” menurut mereka.
Sebagai pengerusi bersama dalam Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3), BNM dan SC telah mempergiat inisiatif untuk bekerjasama dengan industri bagi memperkukuh keupayaan sektor kewangan dalam menangani risiko berkaitan iklim dan membangunkan daya tahan terhadap iklim.
“Usaha ini juga membantu menyelaraskan maklum balas sektor kewangan terhadap dasar negara dan menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi lebih hijau,” menurut KASA dan MoF sambil menyatakan mereka bersama-sama kementerian dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan akan menyokong tahap pembangunan seterusnya Taksonomi ASEAN dan pelaksanaannya.