Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Kemajuan Teknologi, AI Tidak Boleh Hakis Nilai Agama, Budaya Dan Jati Diri Bangsa - PM Anwar

Kemajuan Teknologi, AI Tidak Boleh Hakis Nilai Agama, Budaya Dan Jati Diri Bangsa - PM Anwar

CYBERJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang menjadi pemacu pembangunan negara perlu diseimbangkan dengan usaha memelihara agama, budaya, nilai moral dan jati diri bangsa agar nilai itu tidak terhakis, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia perlu terus menguasai AI bagi memastikan negara kekal berdaya saing di peringkat global, namun usaha mengekalkan nilai kemanusiaan yang menjadi asas pembinaan negara MADANI juga perlu terus diperkukuhkan.

"Teknologi mampan, kecanggihan, kepintaran AI itu seolah-olah menggapai di langit. Tetapi kita tidak mahu terhakis agama, budaya, moral kita. Jadi kita harus mengakar ke bumi. 

"Jadi menggapai di langit sepertimana banyak negara maju yang lain tetapi kita mahu mengakar ke bumi supaya jangan hilang jati diri budaya, nilai akhlak moral dan agama. Ini satu cabaran baharu," katanya semasa berucap pada Majlis Peluncuran AI Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Perdana Menteri hari ini secara rasmi mengumumkan penubuhan AI Malaysia Bhd, sebuah entiti  kecerdasan buatan kebangsaan di bawah Kementerian Digital.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penguasaan AI perlu bermula daripada sistem pendidikan dengan pendedahan kepada teknologi itu diperkenalkan sejak di peringkat sekolah, selain memperkukuh bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kepada guru serta penyediaan prasarana yang bersesuaian.

"Saya memberitahu Kementerian Pendidikan pagi tadi untuk menyiapkan negara ini dari segi STEM dan TVET, pendedahan kepada AI di sekolah untuk memenuhi maksud AI Malaysia," katanya bahawa Kementerian Digital bertanggungjawab menjadi pemangkin untuk memastikan peningkatan penggunaan AI di semua jabatan, agensi dan kementerian.

Beliau berkata universiti juga perlu memperkukuh fakulti, jabatan dan pusat penyelidikan AI bagi memastikan kemahiran tempatan selaras dengan keperluan industri global.

Anwar berkata maklum balas syarikat teknologi antarabangsa seperti Nvidia, Google, Microsoft, Huawei dan Ericsson menunjukkan kemahiran graduan tempatan masih perlu dipertingkatkan menerusi sinergi yang lebih kukuh antara institusi akademik dan industri.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata dalam memenuhi keperluan industri, negara perlu melahirkan graduan yang mempunyai nilai manusiawi dan kemanusiaan.

"Negara lain boleh tercabar juga kemanusiaannya. Malaysia sebagai negara pelbagai kaum, (jika) agama, kemanusiaan terhakis negara akan hancur, kerana manusia akan hilang karamah insaniahnya," kata beliau.

Mengenai pembangunan AI negara, Anwar berkata kepakaran tempatan perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberi penekanan kepada universiti, institusi pendidikan dan sektor swasta dalam membangunkan teknologi serta penyelesaian AI yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia.

"Kemudian bagaimana boleh menggunakan kemahiran, kepakaran tempatan yang dulu kita disebut “made in (dibuat di)”, kini “made by (dibuat oleh)” Malaysia?. Maknanya (perlu) memberikan perhatian kepada universiti, badan-badan pendidikan serta swasta yang boleh memenuhi maksud ini," katanya.

Beliau berkata Akademi Sains Malaysia dan Majlis Sains Negara turut diarahkan supaya tidak lagi hanya menyelaras kegiatan dalam kalangan agensi dan jabatan kerajaan, sebaliknya melibatkan universiti serta institusi pendidikan secara langsung sebagai satu rangkaian kerjasama bagi memanfaatkan perkongsian data, kepakaran dan penyelidikan.

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan akan terus memperkukuh tadbir urus AI secara bertanggungjawab, termasuk memberi penekanan terhadap aspek etika dalam pembangunan teknologi itu seperti pernah beliau bangkitkan pada Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) sebagai antara isu perlu diberi perhatian di peringkat antarabangsa.

 

Arkib Petikan Akhbar