Kementerian Kewangan bentang Pindaan RUU Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan COVID-19

Kementerian Kewangan bentang Pindaan RUU Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan COVID-19

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Kementerian Kewangan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 (Akta 830) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah.

Pindaan rang undang-undang itu bertujuan menaikkan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60 peratus kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kenaikan had tersebut adalah berikutan keperluan pendanaan untuk membiayai tambahan kepada jumlah amaun Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.

Dari segi implikasi kewangan, rang undang-undang itu akan melibatkan perbelanjaan wang tambahan kerajaan sebanyak RM45 bilion.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 14 September lepas, cadangan untuk membentangkan pindaan akta tersebut telah diluluskan oleh Majlis Jemaah Menteri pada 10 Sept, 2021.

Ia antara lain bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan pandemik COVID-19 serta merawat pesakit COVID-19; menambah baik bantuan tunai langsung kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro.