Select your language
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kerajaan akan menerbitkan Sukuk Kelestarian dalam ringgit Malaysia sehingga RM10 bilion pada tahun hadapan untuk disalurkan kepada projek sosial atau mesra alam yang layak.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia komited dalam memenuhi obligasinya sebagai penandatangan Perjanjian Paris.
“Pada April lalu, kerajaan berjaya menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia menerusi terbitan berjumlah US$800 juta.
“Sukuk ini telah dilanggan melebihi 5.6 kali yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap negara,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Bajet itu mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
Sebanyak RM332.1 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2022, dengan RM233.5 bilion daripada jumlah itu akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.