Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Kerajaan, persatuan tafakul dan insurans lancar program PTV esok

Kerajaan, persatuan tafakul dan insurans lancar program PTV esok

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), secara rasmi akan melancarkan Program Perlindungan Tenang Voucher (PTV), satu inisiatif nasional yang dibuat dengan kerjasama kerajaan pada 30 September 2021.

Ketiga-tiga persatuan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini memberitahu Program PTV menawarkan perlindungan sosial kepada kira-kira 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang layak.

Di bawah fasa pertama, baucar bantuan kewangan RM50 akan ditawarkan kepada 3.6 juta BPR di bawah kategori isi rumah, untuk pembelian atau penyertaan pelan Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen yang mengambil bahagian.

“Bermula 30 September 2021, penerima BPR di bawah kategori isi rumah boleh menyemak kelayakan mereka untuk menerima baucar RM50 tersebut melalui portal PTV di www.myptv.my.

“Selepas mengesahkan kelayakan, penerima BPR disyorkan bagi melayari laman sesawang www.mycoverage.my untuk mendapatkan maklumat mengenai ciri-ciri dan faedah produk di laman web syarikat insurans dan pengendali takaful serta membeli/menyertai produk Perlindungan Tenang yang sesuai dengan keperluan masing-masing,” katanya lagi.

Sebagai alternatif, penerima BPR juga boleh ke mana-mana cawangan syarikat insurans, pengendali takaful, ejen atau pengedar Perlindungan Tenang yang sah untuk menyemak kelayakan mereka, serta menyertai produk yang mereka inginkan.

Kenyataan itu menjelaskan baucar RM50 itu akan membolehkan penerima memilih pelbagai pelan perlindungan yang meliputi kematian, kemalangan dan kerosakan harta benda.

“Contohnya, seorang penerima berusia 35 tahun akan mendapat faedah kematian sehingga RM20,000 untuk produk insurans hayat. Bagi Kemalangan Diri, penerima akan mendapat faedah kematian akibat kemalangan sehingga RM48,000,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata COVID-19 telah membangkitkan kepentingan keselamatan sosial untuk golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat.

“Memandangkan penyertaan insurans yang rendah di kalangan kumpulan B40 dan di dalam semangat #KeluargaMalaysia, subsidi kerajaan untuk perlindungan insurans/takaful adalah sebahagian daripada usaha dalam meningkatkan jaringan keselamatan sosial ke atas B40. Ini hanyalah langkah kecil ke arah reformasi keselamatan sosial, yang dilihat oleh kerajaan dengan bersungguh-sungguh melalui Belanjawan 2022, serta sebagai komponen program PERKUKUH Pelaburan Rakyat,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility