Kerajaan tingkatkan kesiapsiagaan bagi hadapi pandemik pada masa depan – Tengku Zafrul

Kerajaan tingkatkan kesiapsiagaan bagi hadapi pandemik pada masa depan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 9 Sept  Kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk mengukuhkan daya tahan dan kesiapsiagaan sistem penjagaan kesihatan bagi menghadapi pandemik pada masa depan, selain mendepani cabaran jangka panjang penduduk yang semakin berusia dan penyakit tidak berjangkit.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata beberapa langkah dasar sedang dikaji, termasuk melaksanakan sistem “sentiasa aktif” dan kerjasama yang dapat ditingkatkan dengan cepat semasa pandemik.

“Kerajaan juga akan memperkasakan mekanisme peringkat negara dan tempatan untuk mengesan penyakit berjangkit bagi menghentikan penularan di peringkat awal; memastikan kesediaan sistem kesihatan untuk menangani lonjakan kes selain mengekalkan perkhidmatan penting; dan membangunkan agenda pencegahan epidemik yang bersepadu.

“Pembaharuan sedemikian akan memastikan perlindungan nyawa dan kehidupan selain memastikan ekonomi dibuka untuk perniagaan,” katanya dalam ucapan khas pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara yang diadakan secara maya hari ini.

Pada masa depan, Tengku Zafrul berkata mencapai sasaran tahap imuniti penduduk merupakan pembolehubah utama dalam usaha Malaysia ke arah pemulihan daripada pandemik COVID-19.

Sehingga 7 September, lebih 20 juta orang atau 89 peratus daripada jumlah penduduk dewasa negara telah menerima dos vaksinasi COVID-19 mereka, termasuk 16 juta orang yang kini telah divaksinasi sepenuhnya.

“Insya-Allah, kita akan mencapai 80 peratus daripada jumlah penduduk dewasa yang mendapat vaksinasi sepenuhnya pada akhir September dan 100 peratus pada akhir Oktober.

“Selepas itu, kita akan mula hidup bersama COVID-19 sebagai penyakit endemik,” katanya. Setakat ini, katanya Malaysia telah menyaksikan usahanya yang membuahkan hasil berikutan jumlah kes COVID-19 yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi terus menurun.

“Ini terutamanya berlaku di kawasan yang lebih 60 peratus daripada jumlah penduduk dewasa telah mendapat vaksinasi sepenuhnya.

“Berdasarkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih kepada Fasa 2 pada 10 September, kami akan membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi semula yang akan memacu pemulihan ekonomi negara,” katanya.