Ketepi perbezaan, kongsi idea jayakan usaha lawan COVID-19

Ketepi perbezaan, kongsi idea jayakan usaha lawan COVID-19

SERING kali apabila dilanda sebarang musibah, rakyat membuktikan kita mampu mengetepikan perbezaan demi kerjasama untuk mengatasi cabaran melintang di hadapan kita.

Semangat ini terserlah lebih-lebih lagi apabila berlaku bencana alam seperti banjir. Sikap sama juga dapat kita saksikan ketika krisis kewangan masa lalu dan krisis kesihatan terdahulu seperti wabak SARS dan penularan Japanese Encephalitis (JE).

Kini, negara kita menghadapi dugaan kesihatan dan ekonomi amat besar. Banyak negara, termasuk Malaysia tahun lalu berjaya mengekang penularan wabak COVID-19. Bagaimanapun, hari ini menyaksikan kenaikan mendadak kes jangkitan COVID-19 akibat muncul varian agresif seperti Delta dan Lambda.

Berbanding virus asal, varian ini lebih berbahaya kerana lebih mudah tersebar. Maka, sementara ada antara kita ingin terus berdebat berjela-jela mencari kesalahan pihak lain - hakikatnya, kita makin kesempitan ruang dan masa disebabkan penularan agresif varian baharu.

Melihat situasi genting ini, kita memerlukan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan secepat mungkin. Ia merangkumi enam prinsip utama, termasuk membuka semula ekonomi, membuat keputusan berpandukan sains dan data, mengambil pendekatan 'seluruh negara' (whole-of-nation), mewujudkan pelan dinamik serta memiliki keanjalan untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.

PPN ialah usaha tulus dan serius, membabitkan pelbagai pendapat dan pakar demi manfaat semua. Kerajaan menjemput wakil daripada parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti perniagaan serta ahli ekonomi dan kebajikan sosial untuk bersama-sama menuju ke satu arah.

Intipati utama ialah kesejahteraan nyawa rakyat, sesuatu harus dilindungi dengan memastikan keupayaan sistem penjagaan kesihatan, terutama dari segi kapasiti untuk bertindak dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kita.

Amat penting untuk kita bersatu padu dan bertumpu kepada dugaan dahsyat di hadapan mata kita. Kita umpama berada dalam sebuah pesawat udara dan tiba-tiba berlaku kebakaran dalam penerbangan.

Pada saat kritikal yang mana semua anak kapal sepatutnya berikhtiar memadamkan api ini, sebaliknya mereka sibuk bergaduh untuk menukar juruterbang. Andainya kita adalah penumpang dalam pesawat berkenaan, bagaimanakah perasaannya melihat keadaan ini?

Begitu juga situasi di negara sekarang yang keselamatan nyawa menjadi persoalan, manakala rakyat acap kali meruntun supaya kita semua bekerjasama dan sepakat membantu negara keluar daripada wabak ini dengan selamat.

Kenapakah kita mensia-siakan peluang berharga untuk berkongsi pandangan, ilmu dan sumber secara berhemah melalui PPN?

Sememangnya, PPN ialah harapan terbaik kita, satu penyelesaian merangkumi kepelbagaian suara untuk membawa kita keluar daripada krisis pandemik ini dengan teratur dan selamat.

Atas semangat kesepakatan inilah, saya mengundang ahli politik parti pembangkang untuk menyertai mesyuarat penyelarasan PPN, baik wakil dari Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), termasuk Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG). Malangnya, PEJUANG sudah menolak undangan itu secara rasmi.

Bagi saya, sesuatu dasar perlu mengumpulkan pandangan daripada seberapa banyak pihak yang boleh. Idea baik tetap idea baik, tanpa mengira daripada mana puncanya.

Inilah pendirian pihak Kementerian Kewangan (MoF) sejak tahun lalu apabila kami mengatur Belanjawan 2021. Ketika itu, kami menilai pelbagai cadangan, sekalipun daripada parti pembangkang dalam merangka belanjawan negara.

Penolakan PEJUANG tidak akan menghalang kami daripada terus mendapatkan pandangan seberapa ramai pihak dalam melaksanakan PPN. Seperti saya katakan berulang kali, pelan ini harus bersifat dinamik kerana virus ini bermutasi dengan pantas dan kita juga harus tangkas menyesuaikan pelan dengan situasi semasa.

Mengetepikan perbezaan masing-masing bukan bermakna kita semestinya bersetuju dengan semua dasar dikemukakan kerajaan. Dalam kalangan ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN) juga ada antara mereka paling keras dan lantang mengkritik kerajaan.

Bagaimanapun, apabila nyawa dalam ancaman dan sistem kesihatan awam sedang tergugat, kita mesti tahu bila untuk hentikan percanggahan serta bekerjasama untuk membawa negara ini keluar daripada cengkaman wabak ini.

PPN akan memayungi kita hingga Disember ini dan sehingga COVID-19 dapat diuruskan sebagai satu penyakit endemik. Selepas Disember ini, pemulihan negara akan disokong Belanjawan 2022 bagi menangani usaha melonjakkan ekonomi secara jangka pendek dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), yang akan merangkumi strategi jangka sederhana untuk reformasi struktur ekonomi.

Kerjasama politik di tengah-tengah pandemik COVID-19 bukan baharu. Di Kanada, dasar mengenai pemulihan ekonomi dan keselamatan kesihatan dibangunkan dengan persetujuan semua pihak.

New Zealand yang menjadi teladan dalam usaha memerangi COVID-19, menubuhkan sebuah jawatankuasa pelbagai pihak untuk menguruskan tindak balas pandemik negara itu.

Baru-baru ini pula di Korea Selatan, kerajaan dan pembangkang bergandingan mencapai persetujuan mengenai peruntukan belanjawan tambahan.

Rakyat berhak menerima sesuatu lebih baik daripada apa berlaku hari ini. Mengapa kita tidak boleh menunjukkan keazaman untuk bekerjasama bagi tujuan menyelamatkan nyawa rakyat?

Sebenarnya, kita sudahpun menyaksikan kerjasama ketika proses meluluskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 di Parlimen pada Ogos tahun lalu, yang saya pasti amat dihargai rakyat kerana ia membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka.

Saya yakin kita mampu mengulanginya melalui PPN. Saya percaya semua pihak juga mempunyai keinginan kuat untuk melihat negara kita bebas daripada cengkaman wabak global ini.

Marilah rebut peluang untuk bekerjasama bagi memastikan agar Malaysia kembali ke landasan pertumbuhannya. Saya mendoakan agar kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik dan supaya kita semua aman daripada pertelingkahan tanpa batasan.

Jangan biarkan perbezaan kita meruntuhkan semangat Malaysia untuk menyuburkan kembali negara kita sayangi. Ayuh ketepikan perbezaan antara kita! Kita mampu berganding bahu memenangi perang melawan COVID-19 dan biarlah kejayaan itu kelak diraikan sebagai sesuatu yang kita semua Menang Bersama!

Menteri Kewangan