Kutipan cukai langsung 2021 berjumlah RM67.4 bilion setakat Julai – MoF

Kutipan cukai langsung 2021 berjumlah RM67.4 bilion setakat Julai – MoF

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Kutipan cukai langsung bagi 2021 setakat Julai berjumlah RM67.4 bilion atau 56.2 peratus daripada sasaran, manakala cukai tidak langsung mencatatkan kutipan sebanyak RM24.8 bilion atau 59 peratus daripada sasaran, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Bagi 2021, sasaran kutipan hasil cukai adalah berjumlah RM162.1 bilion, yang merupakan 10.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia merangkumi kutipan cukai langsung sebanyak RM120.0 bilion dan cukai tidak langsung berjumlah RM42.1 bilion.

“Prestasi kutipan hasil bagi separuh pertama 2021 adalah rendah berbanding dengan anggaran dan kutipan seterusnya dijangka berkurangan ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menjejaskan aktiviti perniagaan dan pendapatan peniaga, selain menyebabkan pertambahan mereka yang kehilangan pendapatan,” menurut MoF dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan pada Selasa.

Sebagai langkah membantu golongan dan sektor terjejas, inisiatif percukaian yang dianggar berjumlah RM3 bilion telah dilaksanakan melalui Belanjawan 2021 dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sepanjang 2021 iaitu Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI); Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), PEMERKASA Tambahan serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Antara inisiatif utama merangkumi sektor kesihatan, perlindungan rakyat, sektor perniagaan dan sektor pelaburan.