Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Lebih RM2.5 bilion untuk laksana pelbagai program, tambah baik infrastruktur luar bandar

Lebih RM2.5 bilion untuk laksana pelbagai program, tambah baik infrastruktur luar bandar

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Lebih RM2.5 bilion disediakan bagi melaksanakan pelbagai program dalam aspek kesejahteraan penduduk luar bandar serta usaha mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program itu meliputi infrastruktur jalan, bekalan air serta bekalan elektrik di kawasan luar bandar.

“Pertama, hampir RM1.5 bilion untuk projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 519 kilometer (km) bagi memanfaatkan lebih 130,000 penduduk setempat. Kedua, RM382 juta bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif dengan sasaran 4,800 rumah.

“Ketiga, RM485 juta untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran lebih 2,100 rumah dan keempat, RM107 juta bagi memasang 7,000 unit lampu jalan kampung, menyelenggara lebih 500,000 unit jalan kampung dan menaik taraf 20 jambatan uzur serta kerja-kerja awalan bagi 30 jambatan baharu,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan peruntukan itu, sebahagian besar iaitu RM1.5 bilion disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata selain itu, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi bagi menampung sebahagian kos operasi perkhidmatan tren kurang ekonomik di luar bandar terutama di wilayah timur dan meneruskan inisiatif Pas MyRail5 untuk manfaat pelajar sekolah.

“Mereka kini menerima manfaat di bawah inisiatif Pas MyRail5 yang cuma berharga RM5 sebulan untuk perjalanan tanpa had,” katanya.

Tengku Zafrul turut memaklumkan kerajaan akan memperluas perkhidmatan klinik bergerak oleh Hospital Pengajar Universiti sebagai usaha menambah akses saringan dan Pendidikan kesihatan di kawasan tumpuan.

Katanya Jabatan Pengangkutan Jalan juga akan menyediakan 20 kaunter bergerak khusus untuk penduduk di pedalaman.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility