Manfaatkan data, teknologi untuk usaha pemulihan – Tengku Zafrul

Manfaatkan data, teknologi untuk usaha pemulihan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Data dan teknologi akan menjadi antara elemen penting dalam merancang pemulihan ekonomi Malaysia pascapandemik COVID-19 secara teliti, kata Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan akan memanfaatkan kelebihan data untuk membantu negara supaya menjadi lebih cekap dan responsif, didorong oleh semangat keterangkuman ke arah daya tahan lebih baik dan kemakmuran bersama.

Rangka Tindakan Ekonomi Digital di bawah inisiatif MyDIGITAL amat penting dalam memacu sektor perniagaan untuk bersaing di arena global memandangkan ia menyediakan insfrastruktur digital dan ekosistem digital, katanya.

“Rangka Tindakan Ekonomi Digital merangkumi pelaburan menerusi projek Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaburan untuk mempertingkatkan kesambungan kepada rangkaian kabel dasar laut antarabangsa sehingga 2023, serta rancangan 10 tahun bagi pelaksanaan 5G di seluruh negara dan perkhidmatan pengkomputeran awan,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan khas di Sidang Kemuncak Pemulihan Negara yang diadakan secara maya.

Tengku Zafrul berkata usaha tersebut turut meliputi pengukuhan ekosistem digital, menyokong penerimagunaan digital serta privasi dan perlindungan data.

Beliau berkata sejajar dengan aspirasi 5G negara, kerajaan juga sedang mempercepat pembangunan dan pertumbuhan kesambungan dan liputan 5G berkelajuan tinggi yang mampu milik dan boleh dipercayai.

“Perkhidmatan 5G akan tersedia di Putrajaya, Cyberjaya dan sebahagian Kuala Lumpur pada Disember 2021.

“Selepas itu, ia dirancang untuk mencapai kira-kira 40 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada akhir 2022 dan seterusnya diperluas ke seluruh negara untuk meliputi kawasan bandar dan luar bandar serta kawasan-kawasan perindustrian, dengan sasaran kira-kira 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada akhir 2024,” katanya.

Tengku Zafrul berkata gabungan langkah-langkah ini akan menggerakkan usaha jangka pendek bagi memastikan pembukaan semula ekonomi Malaysia adalah pada landasan lebih kukuh di samping menentukan negara berkedudukan baik untuk memanfaatkan sepenuhnya aliran mega masa depan pada jangka pertengahan dan panjang.

Beliau juga berharap PPN dan Belanjawan 2022 akan berperanan sebagai templat, bukan hanya berkaitan penyelesaian untuk keluar daripada pandemik ini, malah bagaimana untuk menghadapi cabaran yang lebih mendesak pada masa depan.

“Justeru, saya menggesa semua pihak, kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil untuk bersama-sama berusaha sebagai ‘Keluarga Malaysia’. Mari kita bersama-sama dan menang bersama,” katanya.