Parlimen: MoF akan bentangkan cadangan kenaikan siling dana COVID-19 kepada RM110 bilion

Parlimen: MoF akan bentangkan cadangan kenaikan siling dana COVID-19 kepada RM110 bilion

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Kementerian Kewangan (MoF) akan membentangkan cadangan kenaikan siling dana atau Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) daripada RM65 billion kepada RM110 billion, pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata kenaikan itu bagi menampung komitmen bayaran keseluruhan yang kini mencecah RM91.8 billion.

Menurutnya, ini juga berikutan masih terdapat beberapa initiatif lain yang sedang dijalankan serta akan tamat pada Disember 2021 seperti Bantuan Khas COVID-19, Geran Khas Prihatin 4.0, Bantuan Kehilangan Pekerjaan dan diskaun bil elektrik.

“Terdapat juga beberapa inisiatif kerajaan yang melangkau ke tahun 2022 iaitu Program Subsidi Upah, Program Pengekalan Pekerjaan, Program Insentif Pengambilan Pekerja, Program Kemahiran dan Latihan, Jaringan Prihatin dan perbelanjaan berkaitan COVID-19.

“Program berskala kecil lain turut mengalami kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka melangkau sehingga tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas selanjutnya, Yamani Hafez berkata pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM530 billion itu merangkumi suntikan fiskal dan bukan bukan fiskal.

“Komitmen suntikan fiskal di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) bagi lapan Pakej Rangsangan dan Bantuan yang diumumkan serta sebahagian inisiatif di bawah Belanjawan 2021 adalah sebanyak RM91.8 bilion.

“Sehingga September 2021, sejumlah RM60 bilion atau 92 peratus telah dibelanjakan daripada keseluruhan RM65 bilion COVID-19 yang diluluskan di Parlimen melalui pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) pada Disember 2020,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga masih dalam peringkat mempertimbang mengenai saranan berkaitan levi keuntungan luar biasa sebagai hasil tambahan yang boleh dimanfaatkan untuk membiayai aktiviti atau program pemulihan khusus bagi membantu golongan sasar.

“Kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah lagi bagi meningkatkan hasil termasuk mengenakan cukai hasil pelaburan saham serta cukai lebih tinggi secara ‘one-off’ bagi syarikat- syarikat yang telah menjana keuntungan luar biasa dalam tempoh pandemik COVID-19.

“(Pada masa sama) kerajaan turut mengambil kira pandangan dan maklum balas pihak-pihak yang berkepentingan mengenai kesan langkah pelaksanaan cukai khas ini agar ia tidak menjejaskan ekonomi dan daya saing negara khususnya dalam usaha menarik pelaburan asing,” kata beliau.