Pelaksanaan FATCA kukuhkan hubungan percukaian dua hala Malaysia , AS

Pelaksanaan FATCA kukuhkan hubungan percukaian dua hala Malaysia , AS

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mengukuhkan hubungan percukaian dua hala melalui pelaksanaan Akta Pematuhan Cukai Akaun Asing (FATCA) susulan pemuktamadan Perjanjian Intergovernmental Agreement yang ditandatangani pada 21 Julai, 2021.

Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) berkata perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon sebagai mewakili Malaysia dan Duta Besar AS ke Malaysia Brian McFeeters yang berlangsung secara serentak di Putrajaya dan Kuala Lumpur, dengan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

“Pemuktamadan perjanjian ini menunjukkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MOF, pelaksanaan FATCA merupakan kejayaan daripada beberapa siri perbincangan antara kedua-dua negara berdasarkan keperluan untuk mempunyai mekanisme yang lebih efektif bagi memudahkan pertukaran maklumat.

FATCA merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh AS bagi menambah baik amalan pertukaran maklumat berkaitan percukaian, khususnya melibatkan warganegara negara itu.

Dalam konteks Malaysia, kementerian itu berkata, inisiatif tersebut merupakan pelengkap kepada usaha yang dilakukan menerusi penyertaan dalam forum antarabangsa yang diterajui oleh Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) untuk terus meningkatkan ketelusan percukaian berdasarkan amalan terbaik.

Sementara itu, Mohd Shahar menerusi ucapannya semasa majlis tersebut menyatakan bahawa selaras dengan perkembangan terkini sistem percukaian antarabangsa, penambahbaikan ketelusan dan amalan pertukaran maklumat cukai antara negara memerlukan kerjasama yang lebih meluas terutamanya dalam menangani isu mengelak cukai dan pelarian cukai.

Manakala Brian pula menyatakan pemuktamadan FATCA merupakan antara detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia–AS dan menghargai usaha yang dilakukan oleh institusi perbankan Malaysia berhubung aspek pematuhan yang menunjukkan kecemerlangan selaku institusi bertaraf dunia, kata MoF.

Menurut kementerian itu, perjanjian FATCA juga sangat penting ke arah usaha Malaysia dalam mengadakan perjanjian percukaian secara dua hala yang lebih komprehensif serta memberi manfaat kepada pembayar cukai tempatan dan AS.