Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

PEMULIH: RM100 juta untuk sokong industri seni dan kreatif tempatan

PEMULIH: RM100 juta untuk sokong industri seni dan kreatif tempatan

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan bagi membantu lebih 8,000 penggiat seni yang kini terkesan dengan pandemik COVID-19, dan menyokong industri seni dan kreatif tempatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan itu antaranya meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital; peluang kerjaya; program peningkatan kemahiran; caruman perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio serta penciptaan lagu.

"Saya juga mendengar keluhan golongan karyawan, artis, pemuzik, pelakon, penggiat teater, penulis dan krew produksi yang turut terkesan ekoran syarat kawalan pergerakan yang tidak membenarkan mereka terlibat dalam aktiviti seni serta persembahan ketika ini," katanya dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) hari ini.

Selain itu, Muhyiddin turut mengumumkan Bantuan Khas Taska sebanyak RM3,000 kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8,000 pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.

"Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyah kuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika," katanya.

Turut mendapat manfaat daripada PEMULIH adalah pengusaha kantin sekolah yang tidak dapat beroperasi berikutan penutupan institusi pendidikan sehingga menyebabkan mereka hilang mata pencarian.

Muhyiddin berkata mendengar suara kumpulan itu, kerajaan bersetuju memberikan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada semua pengusaha kantin berdaftar.

Bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat, Muhyiddin turut mengumumkan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.

Katanya diskaun 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.

"Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata diskaun bil elektrik 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021 diberikan kepada sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

"Dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion," katanya.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility