Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

PERKUKUH tumpu tadbir urus yang baik, lonjakkan prospek jangka panjang

PERKUKUH tumpu tadbir urus yang baik, lonjakkan prospek jangka panjang

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) akan mempertingkatkan daya tahan dan prospek ekonomi jangka panjang Malaysia, dengan menumpukan tadbir urus yang baik bagi membolehkan pertumbuhan mampan, memperkasa keterangkuman sosio-ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada pelancaran PERKUKUH secara maya pada Khamis, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia akan melengkapkan agenda nasional jangka sederhana hingga panjang kerajaan termasuk Revolusi Perindustrian Keempat dan Rancangan Malaysia ke-12.

Beliau berkata tumpuan utama PERKUKUH adalah mengoptimumkan kedudukan strategik dan hala tuju jangka panjang syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), untuk memastikan semua syarikat berkenaan kalis masa depan di samping matlamatnya selari dengan agenda nasional.

“Sebagai penerima manfaat utama inisiatif ini, rakyat akan menyaksikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi diwujudkan daripada pelaburan langsung asing dan domestik menerusi mandat GLIC dan GLC yang diperbaharu ini,” katanya.

PERKUKUH merupakan inisiatif jangka sederhana selama tiga tahun sebagai sebahagian daripada fasa terakhir Strategi 6R -- (Ketetapan, Ketahanan, Memulakan Semula, Pemulihan, Memperkasa dan Menyusun Semula) -- iaitu Menyusun Semula.

Konsep PERKUKUH dizahirkan untuk mencapai lima hasil utama iaitu memperjelas mandat setiap GLIC; peningkatan fokus kepada pelaburan pembangunan untuk memacu pertumbuhan baharu; menyemarakkan sektor swasta; memastikan siap siaga GLIC bagi masa hadapan melalui peningkatan tadbir urus dan keupayaan; serta mengukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal GLIC.

Tengku Zafrul berkata bersama-sama dengan GLIC, inisiatif ini akan dipacu oleh Kementerian Kewangan, yang akan berfungsi sebagai Pejabat Pengurusan Program.

Sebagai bahagian penting dalam ekosistem dan struktur ekonomi Malaysia, peranan dan fungsi GLIC dan GLC terus berevolusi dan berkembang, walaupun berlaku gelombang penswastaan sejak dekad lepas, katanya.

Beliau menekankan PERKUKUH merupakan agenda pembaharuan jangka sederhana, yang mana setiap inisiatif akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan penglibatan agensi berkaitan serta pihak pengawal selia dan dijangka selesai pada 2024.

Pandemik COVID-19 telah mendorong keperluan untuk menentukan secara jelas apa yang menjadi keutamaan strategik negara, katanya.

“Kita telah melihat lebih banyak penglibatan kerajaan dalam aktiviti korporat dengan kepentingan masyarakat. Tidak dinafikan, ini lebih wajar dilaksanakan dalam bentuk pengawalseliaan berasaskan pasaran bebas," katanya.

“Bagaimanapun, ini belum dapat dilaksanakan berikutan tempoh perkembangan pembangunan yang lebih panjang, penglibatan atau pemilikan kerajaan secara berterusan dalam syarikat tertentu mungkin menjadi penyelesaian sementara,” katanya.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility