Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Peruntukan pembiayaan KWAN dinaikkan kepada RM6 bilion agar cukup bekalan vaksin

Peruntukan pembiayaan KWAN dinaikkan kepada RM6 bilion agar cukup bekalan vaksin

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan peruntukan pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) kepada RM6 bilion daripada RM5 bilion untuk memastikan bekalan vaksin yang mencukupi termasuk dos penggalak, bukan sahaja untuk golongan dewasa, malah remaja.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata berdasarkan penilaian semasa, adalah penting untuk semua rakyat diberikan dos penggalak terutamanya berikutan kemunculan varian Omicron.

“Bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan akan bertindak secara proaktif dan terus memantau keadaan dari masa ke masa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 bagi Kementerian Kewangan di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab celahan Senator Lim Hui Ying mengenai seolah-olah wujud ketidaktelusan pembelian vaksin COVID-19 dan penggunaan dana KWAN.

Tengku Zafrul berkata beliau telah mengumumkan perolehan bekalan vaksin COVID-19 yang dijangka melibatkan kos lebih RM3 bilion untuk keperluan rakyat Malaysia semasa pembentangan Belanjawan 2021.

“Namun, memandangkan pada masa itu jumlah bekalan dan harga masih belum dimuktamadkan oleh syarikat pembekal vaksin, maka tiada peruntukan dikhususkan sebagai sebahagian daripada peruntukan RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021,” katanya.

Beliau berkata menjelang Mac 2021 iaitu selepas kerajaan melaksanakan rundingan bekalan vaksin bagi keperluan sehingga 120 peratus penduduk Malaysia, kerajaan menetapkan sebanyak RM5 bilion diperlukan bagi perolehan bekalan vaksin serta perbelanjaan lain berkaitan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya bagi mempercepat pelaksanaan PICK agar selesai menjelang Disember 2021, kerajaan memutuskan untuk membiayai perbelanjaan PICK sebanyak RM5 bilion menggunakan sumber dana KWAN.

“Dengan adanya sumber khusus untuk pelaksanaan PICK, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara yang terpantas di dunia bagi mencapai kadar vaksinasi.

“Setakat ini, lebih 97 peratus penduduk dewasa telah lengkap divaksinasi dan ini telah mengurangkan bilangan kes COVID-19 dan tahap penggunaan Unit Rawatan Rapi yang kini berada di bawah 60 peratus,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pencapaian sedemikian telah membolehkan hampir semua negeri beralih ke fasa empat di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility