Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Peruntukan Projek Jalan Luar Bandar KKDW Disalur Sepenuhnya - KSU Perbendaharaan

Peruntukan Projek Jalan Luar Bandar KKDW Disalur Sepenuhnya - KSU Perbendaharaan

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Tiada sebarang sekatan dibuat ke atas peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung projek jalan luar bandar dan peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor yang berbangkit ketika ini adalah disebabkan peruntukan tahun semasa telah pun dibelanjakan hampir sepenuhnya.

“Sejak beberapa tahun lepas, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek-projek jalan luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johan berkata pada 2023, perbelanjaan sebenar KKDW berjumlah RM1.8 bilion berbanding RM1.1 bilion peruntukan yang diluluskan manakala perbelanjaan sebenar pada 2024 ialah RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion yang diluluskan.

Beliau berkata pada 2025, perbelanjaan sebenar kementerian itu ialah RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion peruntukan yang diluluskan.

Menurut Johan bagi 2026 pula, peruntukan yang diluluskan berjumlah RM2.1 bilion manakala perbelanjaan sebenar setakat Jun lepas mencecah RM1.9 bilion.

Johan berkata setiap kementerian bertanggungjawab merancang dan mengurus perbelanjaan berdasarkan peruntukan Belanjawan tahunan yang diluluskan Parlimen.

Beliau berkata bagi menangani isu berkenaan, Kementerian Kewangan (MoF) bekerjasama dengan KKDW, antaranya mengatur semula peruntukan kementerian berkenaan berdasarkan keutamaan. 

“Setakat ini, bagi tahun ini, MoF telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

“Pada masa sama, MoF juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata beliau mahu isu pembayaran kepada kontraktor diberi perhatian serius, khususnya bagi kerja yang telah dilaksanakan dan mencapai kemajuan seperti ditetapkan dalam kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar di bawah KKDW.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kelewatan bayaran bukan sahaja memberikan tekanan kepada kontraktor, malah boleh menjejaskan aliran tunai pembekal, subkontraktor, pekerja dan penyedia perkhidmatan, sekali gus memberikan kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi di sesuatu kawasan.

Arkib Petikan Akhbar